KUALA LUMPUR – Widad Business Group Sdn Bhd (WBG atau Kumpulan), yang terlibat di dalam aktiviti pembinaan dan perkhidmatan pengurusan fasiliti bersepadu, bakal membina sebuah pembangunan bercampur yang dinamakan Widad@Langkasuka di Pulau Langkawi Kedah.
Projek tersebut dijangka mengambil masa antara 15 hingga 20 tahun untuk disiapkan.
Dengan nilai kasar pembangunan (GDV) RM40 bilion, Widad@Langkasuka merupakan sebuah projek pembangunan moden dengan diterapkan konsep Islamik dan vernacular tropikal yang dijangka mengubah lanskap Pulau Langkawai dan menjadi satu tarikan utama di pulau legenda itu.
Ketika ini, hampir 90 peratus daripada 1,979 ekar merupakan kawasan laut, bagaimanapun WBG berhasrat untuk membangunkan sebuah pulau buatan manusia yang akhirnya akan menjangkau kira-kira 1,000 ekar atau 50 peratus dari keseluruhan kawasan tersebut.
Setelah siap, Widad@Langkasuka akan mengandungi komponen-komponen pelancongan seperti hotel dan resort-resort bertaraf lima dan enam bintang, padang golf antarabangsa bersebelahan Marina Yacht Club’, kompleks pejabat dan perniagaan antarabangsa, pusat membeli belah, institusi-institusi pengajian tinggi, kemudahan penjagaan kesihatan, dan kediaman-kediaman mewah.
WBG merupakan syarikat persendirian Bumiputera yang dimiliki oleh anak kelahiran Kedah iaitu Tan Sri Ikmal Opat Abdullah yang juga merupakan pemegang saham majoriti di dalam Widad Group Berhad dan Dataprep Holdings Berhad.
WBG juga merancang untuk menganjurkan acara tahunan seperti “Redbull Air Race”, “Power Boat Race”, “Jet Ski Race”, festival bunga api antarabangsa dan beberapa acara kebudayaan dan kesenian bagi mempromosikan pelancongan di Langkawi.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif WBG, Tan Sri Muhammad Ikmal berkata, selain dari meningkatkan status Pulau Langkawi sebagai sebuah destinasi pelancongan terkenal ia juga membantu menarik kemasukan pelaburan asing.
”Pembangunan Widad@Langkasuka ini akan merancakkan ekonomi tempatan dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
”Bagi Negeri Kedah, ia akan membantu meningkatkan pemdapatan tambahan dari pelancongan selaian kenaikan nilai tanah di kawasan sekitarnya,” kata beliau. – MalaysiaGazette