Home Sukan Burnley lebur rekod 68 perlawanan tanpa kalah Liverpool di Anfield

Burnley lebur rekod 68 perlawanan tanpa kalah Liverpool di Anfield

Ashley Barnes muncul wira Burnley mengakhiri rekod tanpa kalah Liverpool di halaman sendiri..

LONDON – Rekod tanpa kalah dalam 68 perlawanan Liverpool di halaman sendiri lebur di tangan pasukan yang menghuni zon penyingkiran dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.

Burnley syang bertandang di Anfield melakar keputusan mengejut dengan menewaskan skuad kendalian Jurgen Klopp 1-0

Sepakan penalti yang dihadiahkan kepada Burnley pada minit ke-83 disempurnakan Ashley Barnes.

Kali terakhir Liverpool tewas di halaman sendiri di tangan Crystal Palace pada April 2017.

Kekalahan itu menyebabkan Liverpool ketinggalan enam mata di belakang Manchester United yang menduduki tangga teratas Liga Perdana Inggeris.

Liverpool mendapat peluang keemasan membuka jaringan pada separuh masa pertama namun tendangan Divock Origi terkena palang gol.

Pada separuh masa kedua, Liverpool buntu mencari gol apabila ketandusan idea dan taktik.

Mohamed Salah turut mendapat peluang untuk membuka jaringan menerusi rembatan kencang namun percubaannya ditepis penjaga gol, Nick Pope.

Kemenangan tersebut membolehkan Burnley keluar dari zon penyingkiran dan menduduki tangga ke-16. – MalaysiaGazette