Home Nasional Covid-19: 3,681 kes baharu, Selangor masih tertinggi

Covid-19: 3,681 kes baharu, Selangor masih tertinggi

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Malaysia sekali lagi melaporkan kes baharu Covid-19 harian empat angka iaitu 3,681 kes hari ini dan Selangor masih kekal sebagai negeri kes harian tertinggi.

Bagaimanapun kes di negeri itu telah turun kepada tiga angka iaitu 782 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham berkata, jumlah keseluruhan kes positif yang direkodkan sehingga kini adalah 176,180 kes.

Jumlah kes sembuh harian pula sebanyak 2,554 kes sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes yang dilaporkan setakat ini adalah 132,706 kes atau 75.3 peratus.

“Daripada kes baharu yang dilaporkan hari ini, 2,982 kes adalah warga tempatan manakala 643 adalah warga asing sementara enam merupakan kes import iaitu dua orang warganegara dan empat warga asing.

“Jumlah kes aktif adalah 42,814 kes dan 251 kes dirawat dalam Unit Rawatan Rapi sebanyak 251 kes sementara 102 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Noor Hisham, Selangor yang sebelum ini merekodkan peningkatan kes sehingga empat digit saban hari kini menunjukkan penurunan kes kepada tiga angka iaitu 782 kes namun masih kekal sebagai negeri kes tertinggi atau 21.5 peratus.

Daripada jumlah ini, kata Noor Hisham, sebanyak 574 kes atau 73.4 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Johor pula yang merekodkan sebanyak 466 kes atau 12.8 peratus dan diikuti Sabah yang melaporkan sebanyak 453 kes atau 12.5 peratus,” katanya.

Sebanyak 89 kes atau 2.5 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (51 kes), Kluster Tembok Mempaga (15 kes), Kluster Tembok Nanas (12 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (5 kes), Kluster Tembok Renggam (4 kes) dan Kluster Tembok Kemus (2 kes).

Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan sembilan sembilan kes dari Selangor, tiga dari Sabah, dua dari Kuala Lumpur, dua dari Sarawak dan masing-masing satu dari Johor dan Pulau Pinang.- MalaysiaGazette