Home Nasional Lanjut operasi kedai makan: Kelonggaran kurangkan cabaran peniaga – MEF

Lanjut operasi kedai makan: Kelonggaran kurangkan cabaran peniaga – MEF

Selepas mendapat bantahan ramai kini kerajaan nampaknya akur dengan melanjutkan tempoh operasi restoran dan kedai makan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyambut baik langkah kerajaan membenarkan kedai makan dan restoran melanjutkan operasi hingga pukul 10 malam bermula hari ini.

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, kelonggaran tersebut dilihat dapat mengurangkan cabaran berat yang dihadapi oleh peniaga sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) berkuat kuasa.

“Keputusan kerajaan untuk melanjutkan waktu operasi disambut baik, terutamanya kepada pengusaha restoran yang menghadapi kerugian besar dan ada juga yang terpaksa ditutup.

“Dengan penurunan mendadak jumlah pelanggan semasa PKP 2.0, pengusaha restoran berusaha untuk menampung kos operasi mereka seperti sewa, gaji, bayaran balik pinjaman dan kos utiliti serta kenaikan harga barangan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru beliau berkata, pihaknya sangat berterima kasih kepada kerajaan atas campur tangan yang berterusan untuk mencapai keseimbangan antara menyelamatkan nyawa dan sumber pendapatan.

Sehubungan itu, Syed Hussain turut mengingatkan majikan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan terus komited dalam membendung penularan Covid-19.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh operasi semua jenis premis menjual makanan dan perkhidmatan penghantaran makanan di negeri-negeri yang tertakluk di bawah PKP sehingga pukul 10 malam bermula hari ini. – MalaysiaGazette