KELOMPOK rentan itu banyak. Rasminya, mereka adalah segolongan yang memerlukan (people in need) tinggal bersama-sama di sesuatu kawasan saling berinteraksi, berkongsi kemudahan serta perkhidmatan bagi memenuhi keperluan hidup serta mempunyai masalah, kepentingan dan matlamat yang sama. Definisi ini sebagai dipetik daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ia dikembangkan dan difahami menurut ukuran kerangka yang sama.
Sekelompok anggota masyarakat yang terdedah kepada persekitaran yang sering berisiko
lazimnya oleh sebab sosial. Gambaran umum ini dicapah lagi oleh sampel kes yang memaparkan kelompok ini kaum perpinggiran yang sering terdedah kepada arus tengah yang memukul tanpa ihsan. Beberapa contoh diharapkan dapat menjelaskan. Umpamanya, tindakan kerajaan mengenakan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Rasionalnya, boleh diperakui. Untuk segeramembendung Covid-19 daripada terus menerobos dada rakyat (walaupun yang menebuk bocor adalah daripada kalangan yang mahu menampal juga).
Walau bagaimana rasionalnya diterima atau tidak, kelompok rentan tetap terpukul. Mereka adalah kumpulan yang terdedah kepada ancaman ekonomi, jaminan sosial, jenayah, tingkah laku devian akibat tekanan-tekanan yang dibawa arus tengah. Dengan atau tanpa penguatkuasaan sosial demikian, kelompok ini yang mewakili kategori masyarakat dalam strata sosial yang lazimnya 40 terbawah (B40) memang menghadapi banyak kesulitan.
Baiklah kita kembangkan lagi. Kemudian, arus tengah di mithalkan sebagai lukisan aliran
sungai yang disisi bibirnya di penuhi penghuni. Bila musim tengkujuh, arus hujan yang tidak dilanggan oleh hutan dan pokok yang musnah dipergondolkan oleh pemerintah yang culas dan lemah akan melimpah, membantai dan memukul masyarakat yang berdiam di pinggir-pinggir tebing, kawasan rendah dan sejauh arusnya yang marah. Mereka inilah kumpulan rentan yang jarang didendangkan. Kerentanan mereka bukan oleh arus sosial, tetapi arus kepincangan pengurusan alam oleh pihak berwajib.
Istimewanya kelompok ini, kerentanan mereka “diraikan” oleh simpati dan tafakkur daripada pemerintah yang meratah hutan tadi. Dengan tunduk, sayu, tersipu dan kemudian mengulang lagi dan lagi dan lagi kegalauan yang sama. Istimewanya kelompok rentan ini, laman rumah, bilik dan ruang tamu mereka dihadiahi bersama lumpur-lumpur, selut entah dari mana datangnya. Alasan oleh para pemerintah bertafakkur tadi – ialah disebabkan hujan lebat.
Proses alami membantu mereka berkesimpulan. Namun, dalil di mana datangnya lumpur
setinggi lutut itu tidak mereka jawab. Saban tahun, kita melihat bagaimana wajah-wajah tabah kelompok ini yang membina rakit kecil di pinggir rumah yang masih digenangi ‘air termenung’. Belum dapat dicuci, belum dapat didiami. Di khemah kecil itulah, rutin harian mereka berjalan, sama bersaing dengan kelompok kayangan lain. Kelompok bertafakkur yang datang dengan kenderaan besar menjalar. Simpati mereka dihargai, tetapi sikap baling batu sembunyi tangan mereka sukar untuk difahami.
Seberat mata memandang, berat lagilah tentunya bahu memikul. Melihat bagaimana cekalnya mereka menyudu selut lumpur yang menghiasi laman rumah nan berpagar alam indah itu. Mengapa tidaknya. Sungai yang sebenar-benarnya adalah lukisan yang menjadi ilham para penyair, dengan arusnya yang ramah itu sering mengkaramkan para pemuisi menurut iramanya. Tapi itu dahulu. Segala yang dibenarkan kini hanyalah khayal dan dongeng.
Sungai ramah itu, arusnya telah marah. Kemarahannya tidak mengenal kasihan. Rumah
manusia yang berpusaka ditebingnya apakah tidak disapu? Pondok tempat manusia baik-baik berdatangan, menadah ilmu-ilmu Tuhan, runtuh dilanggar arusnya. Mahu ke manakah dihantarkan semula tanah lumpur itu? akar pohon telah tiada, diratah tangan manusia. Kepada siapakah alam yang telah dirosakkan ini berhutang nyawa?
Belajarlah sikit sebanyak alasan geografi. Hutan, bukit yang digondol akan membenarkan
curahan hujan terus ke permukaan tanpa dapat diperangkap oleh akar pohon dan disimpan dalam liang tanah. Intensiti hujan yang tinggi dalam masa yang lama akan meluruh di permukaan dengan deras, mengheret segala yang ditentang.
Sungai pun sudah cetek, tanah-tanah terhakis dah terbenam menjadi dasar. Limpahan daripada sungai itu yang membenamkan kediaman manusia-manusi a yang tidak bersalah. Mereka tidak merosak alam lebih daripada kapitalis yang direstu para pemimpin-pemimpin mereka yang culas di atas. Kerja para aktivis masyarakat hanya merawat, mengusahakan, memberi seberapa dapat.
Tugas kita sesama persaudaraan tidak berganjak. Di tahun-tahun covid-19 ini, kita patuh.
Tiada yang banyak dapat dikerjakan untuk menghulur tangan, mencuci, membersih dan sama memikul sedih. Untunglah tanah air Malaysia yang rakyatnya ditanam oleh kemurahan menderma. Mereka tiadalah keberatan. Tetapi, terbayarkah segala kerugian, kenangan, tandamata daripada barang yang telah hilang? Ditelan arus dan terbenam oleh lumpur dalam.
Kepada kami sukarelawan daripada kawasan merah hanya boleh meninggalkan sumbangan di check point tertentu. Cuma, boleh memikul kantung-kantung bantuan, yang tentulah partikel kecil yang tidak mampu mengganti kerugian, kesedihan dan kehilangan yang mereka alami. Untuk mencegah “lumpur bertamu ke rumah” pada tahun-tahun mendatang, bukan ditangan kita. Juga bukan para pemimpin yang tidak boleh diharap, tetapi kepada rakyat. Kepada rakyat, pemberi mandat yang berani memberikan amanah kepada mereka yang benar-benar ahli. Bukan yang menggunakan caci maki untuk merasa suci, merosak alam dan mendatang kesusahan pada penduduk seisi negeri, lalu mencari dalil-dalil untuk menutup kelemahan diri.
Akan datang, bencilah para pemusnah hutan, hatta penebang pokok tanpa alasan. Berikan segenap kemudahan kepada mereka yang suka bertanam dan mereka yang bersama kesedaran bumi hijau. Itu seminima caranya. Jika kita tidak daya menahan kemusnahan dan tidak sanggup melatih tangan menanam kembali pohon hijau pagar bumi. Hijaukan laman rumah, kampung dan tempat bermukim jika berkuasa dan sanggup dikuasakan.
Itu jasa kecil kita kepada alam, kepada kemanusiaan. Sejahterakan bumi yang mulai bosan dengan tingkah manusia yang hanya pandai berkata, bila tiba masanya dialah yang
membenarkan kemusnahan. Kita lama dilantunkan oleh bahasa indah muluk para budiman – mencegah lebih baik daripada mengubati. Tibalah masa untuk kita mencadangkan rawatan pencegahan kepada kumpulan rentan yang menghadapi musibah berganda ini. Setelah Covid–19 ada yang kehilangan kerja, banjir pula menyapu rumah yang berpetak tangga. Mereka harus menilai semula seberapa dalam. Kerja pemerintah untuk menyebar kedamaian kepada manusia kepada alam. Jika oleh alasan ekonomi, pembalakan dibenar tanpa terkawal.
Gigi jentolak dibiar meruntuh pohon-pohon yang beratus tahun berdiri, rakyat harus bangkit dan berani menolak. Lawan kebobrokan yang melewa di depan muka. Jika alasan itu masih dipertahankan, kononnya hasil balak untuk meningkat mahsul negeri, nyatalah mereka tiada berkeahlian membangun negeri. Betapa banyak lagi ruang untuk ekonomi dengan berbagai macam kreativiti, alam hijau itu juga yang mereka musuhi. Justeru, di syorkan agar mereka yang terjejas bersatu suara memberikan tekanan kepada polisi, dasar kerajaan berkaitan hutan dan alam. Banyak NGO yang bersedia bahu membahu atas maksud ini. Kesatuan adalah kekuatan (union is strength).
Untuk jangka pendek, kantung sedikit yang kami usahakan kepada saudara-saudara kami
yang diuji akan terus disalurkan. Kekuatan kami juga bergantung kepada izin Tuhan, melalui tangan-tangan manusia yang dermawan. Bukanlah mereka (saudara-saudara yang tejejas ini) yang berhajatkan bantuan. Tetapi, kitalah yang berhajatkan doa daripada mereka yang diuji ini. Memberi bukan kerana kita lebih, cuma kita tahu apa itu harga sebuah kebersamaan.
Semoga sabar dan tabah akan diganti.
Muhamad Hanapi Jamaludin,
Pertubuhan Belia Kerapatan Graduan Muda