Home Politik Pemimpin politik perlu junjung titah Agong – Mohd Rafiq

Pemimpin politik perlu junjung titah Agong – Mohd Rafiq

Mohd. Rafiq Naizamohideen

KUALA LUMPUR – Semua pihak terutama pemimpin politik perlu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bagi mewujudkan suasana lebih harmonis ketika menghadapi pandemik Covid-19.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, ia merupakan harapan tinggi istana agar tidak kekeruhan suasana memandangkan wabak tersebut kini semakin menular.

“PN Melaka menjunjung kasih titah Seri Paduka yang telah memberi perkenan pengisytiharan proklamasi darurat di seluruh negara.

“PN Melaka berharap agar semua pihak tidak mempertikai dan dapat menghormati kebijaksanaan serta keputusan yang telah dibuat oleh Seri Paduka demi kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia yang tercinta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Rafiq memberitahu, PN Melaka mengambil inisiatif melancarkan Program Bantuan Food Bank Prihatin Melaka (FBPM) bagi membantu rakyat di negeri itu yang terjejas serta kehilangan punca pendapatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Menurutnya, untuk permulaan, pihaknya mengedarkan 1,000 kit makanan bernilai RM50,000 kepada rakyat di negeri itu yang kehilangan kerja dan punca pendapatan sepenuhnya.

Tambah beliau, FBPM akan mengumpulkan sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk daripada swasta dan orang ramai yang ingin menyumbang kepada program berkenaan dalam bentuk keperluan makanan asas.

“Proses kelulusan permohonan akan dijalankan secara berperingkat berdasarkan kemampuan dan jumlah sumbangan yang diterima.

“Mekanisme permohonan akan diuar-uarkan melalui laman Facebook rasmi PN Melaka,” ujarnya.

PN Melaka juga telah mengambil ketetapan menubuhkan Jawatankuasa PN Melaka bagi memastikan usaha menggerakkan program-program membela dan memperkasakan rakyat di negeri itu dapat direalisasikan.

Jawatankuasa itu akan diketuai oleh Mohd Rafiq sebagai Pengerusi manakala Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek sebagai Naib Pengerusi. – MalaysiaGazette