KUALA LUMPUR – Pengumuman Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang membatalkan cuti peristiwa Thaipusam di negeri itu dengan menggunakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP2.0) sebagai alasan adalah tidak logik, seakan tidak menghormati kaum minoriti.
MCA berkata, parti ini tidak dapat menerima alasan Muhammad Sanusi dan keputusan tersebut pastinya telah melukakan hati penganut Hindu kerana tidak menghormati perayaan tradisi dan budaya mereka.
”Ia sudah menjadi satu kebiasaan bagi kerajaan untuk menyenaraikan beberapa perayaan kaum dan agama sebagai cuti umum. Ini adalah satu penghormatan kerajaan kepada semua kaum dan agama di Malaysia.
”Malah, ini juga mempamerkan semangat kepelbagaian, kesederhanaan dan toleransi di negara kita. Ia sudah menjadi amalan sejak beberapa dekad lalu dan ia juga merupakan satu keunikan berharga negara kita.
”Oleh itu, pengumuman mengejutkan Menteri Besar Kedah ini dikhuatiri akan menjejaskan semangat dan prinsip yang telah kian lama dipraktikkan di Malaysia,” katanya.
Walaupun Menteri Besar Kedah memberi alasan selama ini Thaipusam hanya merupakan cuti peristiwa di negeri itu dan bukannya cuti umum, namun alasan ini tidak begitu meyakinkan.
Ini kerana perayaan Thaipusam telah disenaraikan sebagai cuti peristiwa di negeri itu selama enam tahun berturut-turut sejak 2014.
Jadi, mengapa pula amalan ini mahu dibatalkan, soal jurucakap MCA, Mike Chong
“Sikap tidak peduli YAB Sanusi ini telah menjejaskan imej negeri Kedah sebagai sebuah negeri yang sederhana.
”Sekiranya kita mengikut logik Muhammad Sanusi, maka adakah cuti seperti sempena Hari Merdeka juga wajar dibatalkan? Cara pemikiran sebegini amat membingungkan dan mengecewakan rakyat Malaysia,” katanya.
Tambahan lagi, kata Chong, kritikan Muhammad Sanusi yang mendakwa isu ini telah dipolitikkan oleh MIC juga amat mengecewakan.
Dengan ini, MCA sebagai sebuah parti politik yang mewakili kaum Cina di Malaysia juga mengambil pendirian yang sama dengan MIC kerana parti ini berpendapat isu terbabitkan membabitkan hak dan kepentingan semua kaum minoriti di Malaysia.
Sekiranya alasan Menteri Besar Kedah ini dibenarkan untuk membatalkan cuti umum Thaipusam, MCA bimbang alasan yang sama akan digunakan untuk membatalkan perayaan-perayaan kaum minoriti yang lain. Maka, MCA tidak akan mendiamkan diri dalam isu ini.
”Justeru, jangan pula menuduh MCA dan MIC mempolitikkan isu ini. Rasional kami mudah sahaja iaitu, menghalang perayaan dan membatalkan cuti peristiwa adalah dua isu yang berlainan.
”Oleh itu, Menteri Besar Kedah disaran supaya tidak mengelirukan kedua-dua isu ini,” katanya. – MalaysiaGazette
Hampir 500 tahun tanah ini dijajah kau dimana apek
Aiya apek sama aiy yo yo tambi kasi ekonomi penjajah British untung loo.