Home Sukan Aaron-Wooi Yik mara ke final Terbuka Thailand

Aaron-Wooi Yik mara ke final Terbuka Thailand

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menempah tempat ke perlawanan akhir Terbuka Thailand.

Mereka adalah wakil tunggal negara yang berjaya melepasi separuh akhir kejohanan di Bangkok itu, hari ini.

Gandingan ranking kesembilan dunia dan pilihan kelapan kejohanan itu adalah antara beregu negara selain beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheah Yee See yang layak ke separuh akhir semalam.

Dalam aksi hari ini di Impact Arena, Aaron dan Soh memerlukan 35 minit sahaja untuk meraih kemenangan 21-18, 21-18 ke atas pemain nombor 10 dunia, R.Satwiksairaj-S.Chirag dari India, menurut Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam laman webnya, www.bwfbadminton.com.

Mereka akan berdepan pilihan keenam Lee Yang-Wang Chi-Lin dari Taiwan yang mengalahkan beregu nombor dua dunia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia dengan keputusan 14-21, 22-20, 21-12 pada perlawanan separuh akhir yang berlangsung selama 50 minit.

Sementara itu, Mei Kuan-Meng Yean kalah kepada beregu pilihan keempat kejohanan Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan dengan keputusan 17-21, 6-21.

Pang Ron-Yee See yang beraksi cemerlang menentang beregu nombor lapan dunia Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja dari Indonesia pada suku akhir semalam, dikalahkan pasangan Korea Selatan Seo Seung Jae-Chae Yujung dengan keputusan 21-9, 21-16 dalam masa 36 minit. – Bernama