Home Nasional Mangsa ‘body shaming’ boleh dakwa pelaku di mahkamah

Mangsa ‘body shaming’ boleh dakwa pelaku di mahkamah

KUALA LUMPUR – Body shaming atau perbuatan mengejek fizikal seseorang di media sosial bukanlah sesuatu yang baharu, namun nampaknya tiada apa yang boleh menghalang pembuli siber ini daripada meneruskan bentuk penderaan ini ke atas seseorang.

Baru-baru ini, seorang gadis berusia 21 tahun dibuli oleh pengguna aplikasi TikTok yang tidak bertanggungjawab semasa dia sedang melakukan video tutorial solekan secara langsung, mengatakan dia kelihatan hodoh dan harus memakai topi keledar.

Bagaimanapun, mangsa tidak mengendahkan komen yang menjelikkan itu dan tidak melaporkan penderaan tersebut kepada pihak berkuasa.

Seorang lagi mangsa, yang dikenali sebagai Sophia, 40, berkata dia menjadi mangsa body shaming apabila seseorang yang mendakwa sebagai jurulatih kecergasan memuat naik gambarnya di halaman Facebooknya dan mengutuknya mengatakan badannya geleber.

Ia berlaku tahun lalu dan Sophia baru-baru ini membuat laporan polis dan laporan berkenaan turut dihantar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Walau bagaimanapun, Sophia kesal kerana tiada apa-apa tindakan sehingga sekarang.

Kedua-dua insiden itu jelas menunjukkan sikap acuh tak acuh yang ditunjukkan oleh mangsa sendiri dan tindakan pihak berkuasa yang perlahan dalam mengambil tindakan ke atas pembuli siber apabila penderaan sedemikian boleh menyebabkan tekanan emosi dan boleh menyebabkan mangsa membunuh diri.

Untuk memastikan keadilan ditegakkan dan menghalang pelaku daripada terus melakukan penderaan, peguam Nor Zabetha Muhammad Nor berkata yang paling utama adalah penting bagi mangsa untuk membuat aduan kepada polis dan juga MCMC di laman web www.mcmc.gov.my.

“Dalam kes seperti ini, tangkap skrin atau screenshot mesej digital yang menjelikkan itu boleh berfungsi sebagai bukti. Mangsa perlu mengumpul bukti yang relevan, seperti latar belakang pendera dan komen mereka untuk tindakan selanjutnya.

“Pengulas mempunyai hak untuk memberi komen kerana ia adalah kebebasan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan. Walau bagaimanapun, kebebasan itu juga mempunyai had. Anda tidak boleh mengatakan perkara yang boleh mencemarkan nama baik seseorang,” katanya sambil menambah bahawa pelaku boleh didakwa di bawah Akta Fitnah juga.

Beliau menegaskan bagi kesalahan itu, seseorang boleh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang menyatakan bahawa mana-mana orang yang membuat kandungan yang mengancam atau menyinggung dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, menggugut atau mengganggu orang lain adalah satu kesalahan.

“Jika didapati bersalah, seseorang yang melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” kata beliau.

Seorang lagi peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman berkata, pelaku juga boleh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 499 akta yang sama bagi kesalahan itu.

“Seksyen 509 Kanun Keseksaan menyatakan bahawa barang siapa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan seseorang, menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat atau mengganggu kesantunan seseorang itu, hendaklah dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika didapati bersalah di bawah seksyen itu.

“Sementara itu, Seksyen 499 Kanun Keseksaan menyatakan jika mana-mana individu ada membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan tidak benar yang akan atau boleh merosakkan reputasi orang lain, serta ditulis atau disebarkan dengan niat jahat, adalah melakukan satu kesalahan jenayah fitnah,” katanya.

Jika didapati bersalah tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Shahrul mengingatkan pembuli siber bahawa mereka tidak akan terlepas daripada hukuman.

“Jadi setiap kali sebelum mengklik butang ‘hantar’, seseorang perlu tahu bahawa komen dan kenyataan yang boleh mengganggu, mendera, mengancam atau menganiaya orang lain boleh mendedahkan dirinya kepada kesalahan jenayah,” tegasnya. – Bernama