Home Politik Biar Presiden UMNO jalan tugas seperti biasa – Najmil

Biar Presiden UMNO jalan tugas seperti biasa – Najmil

Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Ahli dan pemimpin UMNO harus menjaga Institusi Presiden dan memberikan kepercayaan kepada presiden parti menjalankan tugasnya seperti biasa.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, sekiranya terdapat pemimpin lain yang merasakan layak menjadi presiden atau tidak puas hati, mereka boleh menggunakan saluran yang betul untuk disampaikan dan bukan bertelagah secara terbuka.

Tambah beliau, sampai waktu pemilihan UMNO dan semua pemimpin boleh bertanding sebagai presiden serta menyerahkan kepada perwakilan yang membuat keputusan.

“Ini adalah masa kita untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO.

“Fokus pada masalah rakyat. Ramai yang tengah tertekan kerana PKP dilaksanakan. Ada yang terpaksa bergadai harta benda untuk terus hidup,” katanya di hantaran Facebook miliknya di sini.

Najmil yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu berkata, apa yang penting, pemimpin parti tidak seharusnya meberi peluru kepada pihak lawan untuk menembak UMNO.

Malah kata beliau, jika pemimpin terus bertelagah, rakyat akan bertambah muak dengan politik Malaysia dan lebih teruk rakyat akan menolak UMNO.

“Sebarang isu yang timbul kita bincanglah secara tertutup dan tidak menghebohkan kepada umum. Selesaikan masalah dalaman secara kekeluargaan seperti yang disarankan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Ini lebih baik daripada terus menyimbah minyak ke api. UMNO juga yang akan rugi nanti.

“Saya tidak mahu mengulas panjang tentang konflik politik dalam parti saya sendiri kerana hari ini kita menghadapi gelombang Covid-19 yang besar, tambah pula PKP dilaksanakan.

“Pada saya, isu keselamatan dan kesihatan rakyat adalah jauh lebih penting daripada memfokuskan konflik dalaman parti. Namun, sebagai pemimpin kecil dalam parti saya harus bersuara tentang masalah ini.

“Pemimpin UMNO perlu kekal teguh dan tidak seharusnya menyalahkan antara satu sama lain. Kita dalam bahtera yang sama. Tanggungjawab kita juga adalah sama. Destinasi kita juga adalah sama,” katanya. – MalaysiaGazette