Home Sukan Faris belum puas bersama Melaka

Faris belum puas bersama Melaka

Faris Shah.

KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan Melaka, Faris Shah Rosli mengakui masih belum puas menimba pengalaman bersama Melaka meskipun sudah hampir empat musim beraksi untuk pasukan itu.

Ini merupakan musim keempat pemain berusia 26 tahun itu beraksi bersama Melaka sejak meninggalkan pasukan Kelantan pada pertengahan musim 2018 dan merasakan sudah cukup selesa untuk terus menabur bakti kepada skuad kendalian Zainal Abidin Hassan dalam saingan Liga Super musim ini.

Jelasnya, walaupun agak bergelut untuk kembali mencipta nama selepas menempuh fasa kecederaan ACL sebelum ini pada tahun 2017, Faris tetap bersyukur apabila masih diberi peluang dan kepercayaan oleh Melaka untuk terus berkhidmat bersama pasukan itu.

Bekas kapten pasukan skuad bawah 22 tahun negara ini nyata tidak ingin berputus asa dan mahu berusaha keras bagi mencapai prestasi yang lebih memuaskan untuk musim ini.

“Ini tahun keempat saya bersama Melaka dan saya sememangnya cukup selesa beraksi dengan pasukan ini selepas berbakti dengan Kelantan selama dua musim sebelum ini.

“Rakan-rakan sepasukan juga cukup membantu saya sehinggalah sekarang dan itu yang membuatkan saya rasa sayang nak tinggalkan pasukan ini dan pastinya masih belum rasa puas.

“Kalau nak ikutkan, sebagai pemain yang pernah berdepan kecederaan ACL, memang bukan mudah untuk saya beraksi sepertimana saya lakukan sebelum saya cedera.

“Jadi, saya sendiri yang kena paksa diri untuk berusaha lebih keras capai prestasi yang diinginkan selagi masih ada pasukan yang percayakan kemampuan saya,” jelasnya.

Pemain kelahiran Kelantan ini turut mengakui sering berdepan persaingan sengit bersama Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman dan Khairul Anwar Shahrudin untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama sebelum ini.

Bagaimanapun, Faris menganggap perebutan tempat dalam skuad utama itu tidak pernah melemahkan semangatnya sebaliknya membuatkan dia lebih rasa tercabar untuk sentiasa melakukan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

“Jujur saya cakap memang mencabar untuk rebut tempat sebagai pemain utama sebelum ini apabila bersaing dengan kedua-dua pemain itu.

“Tetapi, walaupun tidak semua perlawanan saya diletakkan dalam kesebelasan utama, jurulatih (Zainal Abidin Hassan) masih memberi peluang kepada saya untuk pertaruhkan aksi di atas padang walaupun sebagai pemain simpanan.

“Yang penting, setiap peluang yang diberi, saya akan pastikan ia tidak akan sia-sia dan mahu sentiasa memberikan yang terbaik untuk pasukan ini,” katanya. – MalaysiaGazette