KUALA LUMPUR – Puluhan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan melarikan diri sebaik sahaja menyedari ada Operasi Bersepadu Pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP) dilakukan hari ini.
Keadaan itu menimbulkan suasana kecoh apabila beberapa kedai menjual ikan, daging dan sayur tempat mereka bekerja tiba-tiba menjadi kosong.
Mereka melarikan diri kerana takut ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, dalam operasi yang diketuainya hari ini bertujuan meninjau tahap kepatuhan SOP dalam kalangan pekerja dan juga pengguna di pasar borong terbabit.
“Kita percaya bahawa mereka tidak mempunyai sebarang dokumen dan kalau tidak, takkan penduduk tempatan beri maklumat itu.
“Tadi kita lihat bagaimana premis itu dibiarkan begitu sahaja kosong, jadi jelas menunjukkan bahawa mereka ini tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Operasi yang bermula jam 2.30 petang itu disertai seramai 66 anggota polis dan 16 pegawai dari Ibupejabat Polis Daerah Serdang.
Turut serta adalah sembilan anggota Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Tambah Razali, operasi dijalankan hasil maklumat orang ramai yang curiga dengan kebanjiran ramai PATI di pasar borong ini.
“Hari ini kita tidak lakukan operasi tangkapan, kita cuma buat operasi pemantauan SOP,” katanya.
Bagaimanapun, daripada operasi yang sama, sebanyak enam PATI berjaya ditahan atas dua kesalahan iaitu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan memandu kenderaan tanpa lesen.
“Mereka ini berumur antara 32 hingga 47 tahun. Kita bawa ke balai untuk pengesahan dari mana mereka dan akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen.
“Di dalam operasi trafik juga, kita telah sita sebuah kereta dan tiga buah motosikal kerana pemandunya tidak lesen memandu yang sah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Razali berkata, pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan kepada SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dari pihak peniaga mahupun para pelanggan. – MalaysiaGazette