LONDON – Manchester United tidak rela melepaskan Donny Van de Beek sebagai pinjaman walaupun dikatakan ada beberapa kelab berminat mendapatkan khidmat pemain belanda ini.
Pemain berusia 23 tahun ini tiba di Old Trafford pada perpindahan awal musim ini dengan nilai £39 juta namun kurang mendapat minit permainan di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer.
Tetapi dengan jadual perlawanan pada pada Januari dan Februari ini, United tidak membenarkan Van de Beek untuk dipinjamkan ke kelab luar.
Sebelum ini, legenda belanda, Ronald de Boer telah menyarankan dia untuk berhijrah ke mana-mana kelab secara pinjaman supaya mendapat minit permainan.
Ini penting bagi persediaan belanda untuk menghadapi Piala Eropah pada pertengahan tahun ini.
Van de Beek hanya berjaya membuat dua penampilan dalam 19 perlawanan liga yang telah diharungi United pada musim ini.
Pemain berbakat ini telah membuat lapan penampilan sebagai pemain gantian dan mencatatkan 249 minit permainan yang berjaya di persembahkan di atas padang.
Van de Beek hanya berjaya membuat penampilan dikejohanan Piala FA, Piala Carabao dan Piala Juara-Juara Eropah.
Dia mempunyai peluang untuk mendapatkan kesebelasan utama ketika United akan berhadapan dengan Liverpool pada Piala FA awal pagi isnin ini.
Van De Beek telah bermain pada perlawanan menentang Watford di mana United berjaya mencatatkan kemenangan 1-0. – MalaysiaGazette