KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) mengumumkan kehadiran pemain import baharu dari Cameroon iaitu Alain Thiery Akono Akono bagi menghadapi saingan Liga Premier musim ini.
Ini merupakan kali pertama beliau beraksi di Malaysia dan pemain yang berusia 25 tahun itu akan memperkuatkan jentera serangan skuad kendalian K. Devan.
Dua pemain dari Cameroon yang pernah beraksi dengan Negeri Sembilan ialah Christian Bekamengga Bekamenggo dan Effa Owona.
Berdasarkan rekod, Akono pernah beraksi bersama pasukan Liga 1 Cameroon, AS Fortuna. Berketinggian 182 sentimeter, dia menjaringkan 10 gol pada musim 19/20 sebelum berpindah ke pasukan Liga Premier Vodacom Tanzania, Azam FC.
Lebih menarik, Akono turut disenaraikan ke pemilihan pemain skuad kebangsaan Cameroon untuk Kejohanan Africa Nations yang dijadualkan pada April lalu tetapi ditunda sehingga Januari ini.
Ini memaksa Akono menarik diri dari menyertai pemilihan skuad kebangsaan Cameroon.
Selain Akono, satu lagi slot import Asia diisi oleh pemain dari Korea Selatan yang berusia 27 tahun iaitu Bae Beom Geun.
Beom tidak asing di bawah bimbingan Devan kerana pemain itu pernah beraksi bersama Petaling Jaya (PJ) City musim 2018-2019. – MalaysiaGazette