Home Seni Hidup Baru bisnes nak pulih, PKP ada balik jadi penghalang – Zulkifli

Baru bisnes nak pulih, PKP ada balik jadi penghalang – Zulkifli

Pemilik dan Pengasas Butik Dzulldeclassique Original, Zulkifli Rahmat termenung seketika semasa temubual bersama Malaysia Gazette berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan di Butik Dzulldeclassique, Kajang. foto FAREEZ FADZIL, 30 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Januari lalu memberi impak yang besar terutama kepada golongan usahawan jahitan dan tekstil bergantung kepada permintaan tinggi menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Bagi pemilik Butik Dzulldeclassique, Zulkifli Rahmat walaupun akur dengan PKP 2.0 namun mengaku terpaksa bergelut demi kelangsungan operasi bisnesnya.

Jelas beliau, ketika ini usahawan daripada sektor itu tidak dibenarkan beroperasi atas faktor bersentuhan bagi mengelak penularan Covid-19.

“Macam mana kami hendak meniaga kerana tidak dibenarkan untuk sektor yang terlibat seperti perkahwinan. Jadi tidak ada pelanggan yang datang menempah sebab dikatakan ada sentuhan.

“Jadi, kami berharap Aidilfitri nanti bolehlah dapat tempahan. Namun baru seminggu mendapat permintaan yang baik awal bulan ini, tiba-tiba pelaksanaan semula PKP.

“Selalunya pemilik butik menyasarkan permintaan baju Melayu mencecah jumlan ribuan menjelang Ramadan dan sepatutnya tempahan sudah meriah ketika ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pemilik dan Pengasas Butik Dzulldeclassique Original, Zulkifli Rahmat bercakap semasa temubual bersama Malaysia Gazette berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan di Butik Dzulldeclassique, Kajang. foto FAREEZ FADZIL, 30 MAC 2020.

Zulkifli tidak menyasarkan jumlah permintaan baju Melayu yang tinggi tahun ini namun baginya cukup sekadar bagi pemilik butik boleh meniaga semula.

Kata beliau, apatah lagi dia memahami pelanggan tetapnya turut terjejas dengan penularan pandemik global itu.

“Minggu pertama awal tahun ini memang sudah pulih dan ramai datang menempah baju Melayu apabila jumlah tempahan sebanyak 300 helai dalam seminggu.

“Sekarang sudah dua minggu tidak meniaga dan rasa sedih sangat. Berbanding tahun lepas, kita dapat banyak tempahan kerana jualan itulah mampu membiayai operasi syarikat selama setahun.

“Tapi sekarang kena berjuang dan harap duit simpanan tapi sampai bila hendak korek dan PKP 2.0 pun tidak tahu bila hendak tamat.

“Harapan saya agar wabak Covid-19 tamat dan rakyat dapat mematuhi prosedur standard operasi (SOP) dan kerajaan dapat memahami kehendak rakyat,” katanya penuh harap.

Pemilik dan Pengasas Dzulldeclassique Original, Zulkifly Rahmat menunjukkan antara baju melayu yang boleh didapati di Butik Dzulldeclassique, Kajang. foto HAZROL ZAINAL, 11 MEI 2017.

Butik Dzulldeclassique di Kajang dekat sini cukup popular dengan rekaan pakaian terutama golongan lelaki untuk membuat baju Melayu.

Menjelang Ramadan, butik itu sentiasa terlintas di minda mereka yang ingin mencari baju Melayu eksklusif, selesa, berpotongan cantik serta kemas.

Apatah lagi, baju-baju Melayu rekaannya sering terpampang di majalah-majalah, dipakai pula oleh golongan VIP dan selebriti sekali gus jenama Dzulldeclassique kekal bertahan sehingga hari ini.

Malah harga upah membuat baju Melayu yang dikenakan bermula serendah RM150 manakala harga harga pakej upah dan material bermula RM250 turut menjadi tarikan kerana merupakan harga mampu milik untuk semua golongan.

Zulkifli telah memulakan perniagaan membuat baju Melayu pada tahun 1993 sebelum menyewa di Arked Mara Kajang dua tahun kemudian.

Dia yang kini menjadi usahawan berjaya bertaraf jutawan berpindah ke bangunan baru di Jalan Reko pada tahun 2016 dan membeli rumah kedai tiga tingkat itu dengan nilai jutaan ringgit. – MalaysiaGazette