MASYARAKAT dunia ingin sekali melihat Amerika Syarikat (AS) yang sering diberikan julukan kuasa besar itu, yang pemimpinnya mengembalikan hak masyarakat dunia, tidak
sebagaimana mantan presiden negara itu ketika berkuasa. Kita telusuri sedikit kisahnya setelah ditabalkan sebagai Presiden Amerika selepas Donald John Trump, Presiden Amerika yang ke-58 gagal mempertahankan kerusi kepresidenannya pada tahun lalu.
Media BBC melaporkan bahawa Presiden AS, Joseph Robinette Biden Jr. memberi amaran
hari ini bahawa beliau akan menghentikan perkhidmatan sesiapa sahaja yang tidak
memperlakukan orang Amerika dengan hormat. "Saya akan bertanggungjawab atas segala kesalahan yang mungkin saya lakukan,” ujarnya semasa pidato pertama beliau di Rumah Putih. Dalam ucapannya itu, beliau mengharapkan pegawainya menghormati semua orang yang bekerja dan mesti membasmi perkauman sistemik. "Kami menghadapi perkauman yang belum pernah terjadi sebelumnya, dan negara kita
telah melalui banyak cabaran dan kita mempunyai tanggungjawab besar,” ujarnya dengan
menambah bahawa pentadbirannya akan menyelamatkan ekonomi dan membendung
wabak Covid-19 dengan lebih baik.
Angkat sumpah jawatan
Pada Rabu 20 Januari 2021, beliau yang dikenali dengan Joseph Biden mengangkat
sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-46. "Hari ini kita meraikan kemenangan demokrasi, kita mesti menyembuhkan keretakan dan membuat kebaikan. Saya berjanji untuk menjadi presiden semua orang Amerika dan berusaha untuk kepentingan mereka yang menyokong saya dan mereka yang tidak,” jelas beliau dalam ucapannya setelah mengangkat sumpah. Menurutnya lagi, sejarah tidak bergantung kepada orang tertentu dan masa depan Amerika memerlukan lebih dari sekadar kata-kata, ia memerlukan kesatuan.
“Kita bersedia untuk menghadapi apa yang digambarkannya sebagai terorisme domestik
dan ekstremisme politik dan mengakhiri perang tanpa peradaban antara Republican dan
Demokrat, dan antara liberal dan konservatif. Setelah Joe Biden mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat, beliau akan memimpin rakyat yang dipecah oleh perpecahan politik, penderitaan ekonomi dan wabak Covid-19 yang terus merosakkan dunia. Bersama Biden, Kamala Harris mengangkat sumpah sebagai Naib Presiden wanita pertama bagi negara itu.
Apa yang dilakukan Biden pada hari pertamanya?
Menurut laporan media negara itu, beliau menyediakan banyak pesanan eksekutif, yang
mana dalam satu kenyataannya pada Rabu menyatakan bahawa beliau akan
menandatangani 15 perintah setelah mengangkat sumpah. Dan yang paling menonjol
adalah:
1. Menarik balik pengunduran AS daripada Perjanjian Iklim Paris oleh Trump.
2. Membatalkan izin presiden yang diberikan kepada saluran paip Keystone XL, yang
ditentang oleh ahli alam sekitar dan penduduk asli Amerika.
3. Membatalkan dasar penguatkuasaan imigresen Trump dan deklarasi darurat yang
membantu membiayai pembinaan tembok sempadan dengan Mexico.
4. Memaksa pemakaian pelitup muka pada kakitangan kerajaan dan di bangunan
persekutuan, dan penubuhan pejabat baru untuk membendung Covid-19 di Rumah
Putih.
5. Mengakhiri larangan perjalanan pelawat dari beberapa negara umat Islam. Manakala pesanan lainnya menyentuh masalah perkauman dan jantina serta isu iklim di negara itu.
Apa yang telah dilakukan Biden pada malam perasmiannya?
Sebelumnya, Presiden Amerika yang ke-46 ini merancang untuk menaiki kereta api ke
Washington seperti yang telah dilakukannya berkali-kali selama bertahun-tahun sebagai
senator. Namun, dalam situasi pandemik di seantero dunia dan semua langkah keselamatan yang diperketat, beliau memilih untuk terbang dengan jet peribadi ke Joint Base Andrews. Lebih menarik, beliau mengambil alih jawatan presiden Amerika Syarikat dalam keadaan yang luar biasa.
Pada petang Selasa, Biden dan Harris berdiri di Tugu Peringatan Lincoln untuk menghormati 400,000 orang Amerika yang telah meninggal dunia akibat wabak Covid-19.
Kedua-duanya hampir bersendirian di plaza National Mall yang mana hampir 200,000
bendera AS dipasang untuk mewakili orang ramai yang tidak akan hadir dalam
perasmiannya pada hari Rabu. Pada Selasa, Biden mengalirkan air mata ketika bersiap untuk meninggalkan kampung halamannya di Wilmington, Delaware. "Ini adalah masa sukar, tetapi selalu ada harapan," katanya kepada puluhan penyokongnya. Pada malam Selasa, Biden dan isterinya, Jill tinggal di Blair House, sebuah kediaman bagi ketua negara dan pengunjung penting lain di seberang jalan dari Rumah Putih.
Apa ‘mood’ di Washington?
Kira-kira 25,000 pasukan Pengawal Nasional mengawal Capitol, Rumah Putih dan National
Mall. Washington kelihatan kosong daripada warga dan ibu kota berubah menjadi kawasan hijau dan merah. Sebelum Biden tiba di kota tersebut, 12 anggota Pengawal Ketenteraan Nasional dikeluarkan daripada misi keselamatan presiden setelah didapati mereka mempunyai hubungan dengan kumpulan sayap kanan dan mereka telah menyebarkan pandangan ekstremis di Internet. Namun, media melaporkan bahawa tidak ada ancaman terhadap Biden.
Trump keluar dari Rumah Putih
Dalam perkembangan lain, mantan Presiden, Donald Trump terbang dari Washington ke
Florida setelah menyampaikan ucapan terakhir di Joint Base Andrews. Untuk kali terakhir,
Trump terbang dengan pesawat presiden AS, Air Force One. Trump yang ditemani isterinya, Melania menaiki Air Force One yang menunggu mereka di lapangan terbang Joint Base Andrews pada Rabu pagi waktu tempatan. Sebuah lagu ‘My Way' oleh Frank Sinatra mengiringi pemergian Trump ke Florida dengan Air Force One.
Sebelumnya, Trump mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan kakitangannya atas
kerja keras mereka selama empat tahun ketika beliau menjadi presiden. Selain itu, beliau
juga memuji Melania sebagai Wanita Pertama AS yang disebutnya bermaruah dan sangat
popular. Tidak ketinggalan, Trump mengucapkan terima kasih kepada Ketua Kakitangannya, Mark Meadows dan Naib Presiden, Mike Pence yang telah bersamanya selama empat tahun. Namun, Pence sendiri tidak menghadiri upacara perpisahan Trump, tetapi akan menghadiri perasmian Biden.
Melanggar tradisi
Kelainan yang dilakukan Trump ialah beliau melanggar tradisi dengan terbang keluar dari
Washington DC ketika masih berkhidmat sebagai Presiden AS. Beliau meninggalkan Rumah Putih pada pagi sebelum Biden mengangkat sumpah dengan helikopter Presiden AS, Marine One dan terbang ke Florida dengan Air Force One. Biasanya, penerbangan terakhir Presiden AS yang mengakhiri jawatannya disebut sebagai Misi Udara Khas kerana kapal terbang presiden hanya dapat digunakan oleh Presiden AS yang sah.
Dengan Trump meninggalkan Rumah Putih ketika masih menjadi Presiden AS, beliau tetap
aktif semasa penerbangannya ke Florida. Trump secara rasmi akan menamatkan
penggalnya pada hari Rabu waktu AS, ketika Biden secara rasmi mengangkat sumpah.
Harapan dunia
Amerika Syarikat di bawah pemerintahan Joe Biden diharapkan dapat mengembalikan
proses menyelesaikan konflik Israel dan Palestin ke meja rundingan atau jalan diplomatik.
Pada November tahun lalu, pemimpin Palestin menyatakan harapan yang tinggi untuk
melihat hubungan negaranya dengan Washington dapat dipulihkan semula selepas pelbagai ‘kerosakan’ yang telah dicetuskan oleh Donald Trump.
Sebagaimana yang dilaporkan Arab News, bekas Datuk Bandar Bethlehem dan Ahli Dewan Kebangsaan Palestin, Vera Baboun berkata: “Rakyat Palestin meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan AS yang baharu berhubung soal keamanan dan kami berharap Joe Biden akan memberikan reaksi positif untuk mengundang Presiden Palestin, Mahmoud Abbas ke seminar antarabangsa bagi keamanan pada tahun 2021,” katanya.
Selain itu, Malaysia juga turut berharap perubahan positif bakal berlaku dalam suasana
global di bawah pemerintahan Presiden baharu Amerika Syarikat, Joe Biden. Beberapa negara lain juga menzahirkan harapan yang sama sebagaimana Malaysia demi
mencapai keamanan dunia. Bersama kita doa dan nantikan.
Atriza Umar
Jabatan Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia