Home Nasional Manhaj Rabbani jadi dasar baharu Hal Ehwal Agama

Manhaj Rabbani jadi dasar baharu Hal Ehwal Agama

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju supaya satu dasar bagi memastikan pentadbiran negara menepati prinsip-prinsip Islam diwujudkan yang bersifat komprehensif, praktikal, dan mudah untuk difahami oleh semua lapisan masyarakat umat Islam termasuk bukan Muslim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, setelah meneliti dan berbincang dengan pakar, dasar itu namakan Dasar Manhaj Rabbani yang merupakan suatu konsep dekat dengan masyarakat, jelas, mudah difahami dan mampu diterjemahkan di peringkat individu, komuniti, organisasi dan negara.

Menurut beliau, di peringkat agensi-agensi agama di bawah tanggungjawabnya, Manhaj Rabbani akan terus dilaksanakan dan disesuaikan dengan visi, misi dan objektif agensi.

“Menurut Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, rabbaniyyah merupakan ciri paling utama bagi Islam. Ia merujuk kepada sifat pengabdian diri kepada Tuhan. Manakala ciri-cirinya banyak dinyatakan dalam al-Quran.

“Berdasarkan pandangan Syeikh Sa’id Hawwa, Imam Hasan alBanna dan Syeikh Abdul Rahman Hasan Habannakah alMaydani, Manhaj Rabbani itu berpaksikan tiga ciri utama iaitu Thaqafah (keilmuan),  Ruuhaniyyah (kerohanian) dan Da’wah (aktivisme),” katanya dalam ucapan sempena perhimpunan agensi di bawah jabatan itu.

Perhimpunan yang diadakan di Putrajaya itu diadakan secara atas talian dan disiarkan secara langsung menerusi platform YouTube hari ini.

Zulkifli menambah, Dasar Manhaj Rabbani perlu dikembalikan kepada ummah dan seluruh rakyat terutama dalam kekalutan dunia yang sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.

Jelas beliau, dasar itu sesuai bagi isu-isu lain yang semakin menghimpit meliputi soal agama, ekonomi dan sosial, maka negara memerlukan suatu panduan dan hala tuju yang jelas bagi menghadapi semua ini.

Menurutnya, Manhaj Rabbani menuntut seseorang individu untuk berpegang dengan prinsip ‘ubudiyyah’nya kepada Tuhan dalam kehidupan baik di rumah atau pejabat, individu atau organisasi, dewasa atau kanak-kanak, tua atau muda, Manhaj Rabbani adalah jawapannya.

“Manhaj ini selari dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3 Fasa 1 Perlembagaaan Persekutuan. Kedudukan ini diperkukuhkan lagi menerusi prinsip pertama dalam Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan.

“Saya ingin melihat Dasar Manhaj Rabbani dilaksanakan terlebih dahulu oleh agensi-agensi di bawah tanggungjawab saya. Teras kepada dasar ini adalah Maqasid Syariah, yang saya namakan juga sebagai Maqasid Insaniyyah Rabbaniyyah.

“Dengan kata lain, Maqasid Syariah itu adalah objektif untuk menjadi insan rabbani, organisasi rabbani bahkan negara rabbani. Manakala tahap pencapaiannya akan diukur dengan pelaksanaan aplikasi i-MaqSD di bawah seliaan Bahagian Maqasid Syariah Jakim.

“Saya ingin memaklumkan bahawa berdasarkan pilot project iMaqSD yang telah dilaksanakan oleh Bahagian Maqasid ke atas 14 agensi di bawah JPM (Agama), Tahap Pencapaian Keseluruhan i-MaqSD 2020 adalah 85.9 peratus. Tahniah saya ucapkan buat semua agensi,” katanya.

Zulkifli memberitahu, Dasar Manhaj Rabbani yang berteraskan Maqasid Syariah itu menjadikan tujuh rinsip utama sebagai hala tuju berdasarkan akronim R.A.B.B.A.N.I iaitu rahmat, aman, bertuhan, bakti, adil, nurani dan insani. – MalaysiaGazette