KUALA LUMPUR – Pelakon popular, Rita Rudaini seolah-olah menyindir bekas suaminya, Aidil Zafuan Abd. Razak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang pembayaran nafkah kerana dikhuatiri akan memakan dirinya semula.
Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, 44, berkata, dia pelik bagaimana Aidil tiba-tiba boleh membuka mulut untuk bercerita tentang isu nafkah dan tuntutan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sekali gus menghangatkan semula permasalahan antara mereka sehingga kecoh dalam Instagram.
Dia mengakui Aidil ada membayar nafkah berjumlah RM3,000 setiap bulan namun tidak dinyatakan sama ada untuk setiap anak atau kedua-duanya.
“Saya tak pernah cakap dia tidak membayar nafkah namun amaun yang dia beri selama ini tidak pernah bertambah pun sejak tahun 2013 tetapi saya diamkan saja. Hari ini (semalam) dia berbunyi pula tentang isu tuntutan LHDN.
“Saya bukan nak buat tuntutan tetapi ketika isi borang, rupa-rupanya ada orang sudah buat dahulu. Saya tidak bising pun bila dapat tahu perkara itu empat tahun lepas,” balasnya dalam InstaStory malam tadi.
Dia menjawab kenyataan terbuka bekas suaminya itu berhubung isu pembayaran nafkah anak yang tiba-tiba dibangkitkan menerusi Instagram malam tadi.
Pelakon filem Mami Jarum itu juga mendakwa bekas suaminya membuat pendedahan terbuka kerana takut dikecam netizen.
“Takut? Awak lebih takut kecaman netizen daripada Allah SWT.
“Tuhan lebih mengetahui apa yang telah berlaku dan diperlakukan. Semoga Allah beri kesedaran dan bersihkan hati,” tulisnya lagi.
Rita turut meminta Aidil bersyukur kerana dikurniakan seorang bekas isteri yang tidak pernah culas menjaga kebajikan dua anak mereka selepas bercerai.
“Sepatutnya awak bersyukur kerana ada bekas isteri yang bagus jaga benih awak sehingga menjadi manusia.
“Saya didik setiap seorang tak pernah sekali pun meminta duit dan harta orang lain, tak pandai bersyukur langsung,” katanya lagi.
Sementara itu, dia juga tidak pernah takut untuk menjadi seorang yang lantang bersuara serta tidak mahu meminta sokongan daripada netizen.
“Saya tak pernah takut untuk berjuang sebab Allah sentiasa ada dengan kami,” ujarnya lagi.
Semalam, pemain kelab bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) menjawab tuduhan segelintir netizen yang mendakwa dirinya mengabaikan tanggungjawab membayar nafkah kepada anak-anaknya selama ini.
Aidil, 33, turut mempunyai bukti pembayaran dan meminta orang ramai tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh menjatuhkan fitnah terhadap dirinya.
Pada 2017, semua kes mahkamah membabitkan tuntutan nafkah anak, mutaah dan edah Rita daripada Aidil telah diputuskan.
Mahkamah memerintahkan Aidil membayar RM3,000 sebulan pada Januari 2015, manakala untuk tuntutan mutaah, dia diperintah membayar RM30,000 pada Oktober 2015.
Rita dan Aidil bernikah secara rahsia pada Februari 2008 di Songkhla, Thailand dan sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan, September 2013.
Bersyukur lah anak awak dapat 3k sebulan dah lbh dari cukup..anak org lain ada yang 30 sen sebulan pun tak dapat.