Home Nasional Semua keputusan dibuat oleh KKM, bukan saya seorang – Noor Hisham

Semua keputusan dibuat oleh KKM, bukan saya seorang – Noor Hisham

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah South African B.1.351 Covid-19 variant
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menepis dakwaan orang ramai bahawa segala keputusan yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah daripada beliau.

Beliau berkata, tanggapan itu sama sekali tidak benar kerana segala keputusan yang dibuat adalah keputusan bersama daripada pelbagai pakar dalam kementerian itu.

Malah katanya, ia termasuk di bahagian Kesihatan Awam, hospital dan klinik bawah kementerian itu.

“Kadang kala orang menyerang saya saja, mengatakan saya angkuh tetapi bukan saya saja yang membuat keputusan.

“Pandangan yang saya berikan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan orang ramai adalah pandangan daripada KKM.

I am only a messenger,” katanya dalam sesi taklimat media berkaitan Darurat Covid-19 KKM, hari ini.

Jelas beliau, setiap hari semua pihak terbabit akan bermesyuarat terlebih dahulu bagi membincangkan segala bentuk keputusan yang akan diambil oleh kementerian itu.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, vaksin yang dihasilkan syarikat farmaseutikal Pfizer tidak mempunyai kesan sampingan.

Ia ekoran pemerhatian negara terhadap langkah United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) yang telah memulakan proses vaksinasi kepada rakyatnya membolehkan Malaysia mendapat lebih maklumat mengenai keberkesanan vaksin dihasilkan syarikat farmaseutikal Pfizer.

Beliau berkata, dengan melihat kepada proses yang dilakukan kedua-dua negara itu, Malaysia bleh melihat kepada kesan sampingan yang terjadi kepada mana-mana rakyat negara-negara itu sebelum dipraktikkan di negara ini.

“Kita lihat kesan sampingan rendah. Ramai rakan doktor kenalan pun menerima vaksin dan saya dapat bertanya kesan sampingnya.

“Alhamdulillah, vaksin Pfizer tiada kesan sampingan. Ada orang meninggal dunia berkemungkinan tidak ada kena-mengena dengan vaksin, sama ada disebabkan oleh vaksin atau secara kebetulan.

“Ada ‘bell’s palsy’ sama ada disebabkan oleh vaksin atau secara kebetulan. Kita akan menjalankan penilaian keberkesanan vaksin dalam tempoh terdekat dan untuk jangka panjang,” katanya lagi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata Malaysia dijangka menerima bekalan vaksin Pfizer untuk fasa pertama pada hujung Februari ini. – MalaysiaGazette