Home Utama Ancaman Anonymous Malaysia serius, agensi kerajaan perlu ambil langkah – MKN

Ancaman Anonymous Malaysia serius, agensi kerajaan perlu ambil langkah – MKN

Anonymous Malaysia muncul menerusi satu video mengancam akan menyerang laman sesawang kerajaan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Semua agensi kerajaan diberi amaran supaya mengambil langkah-langkah perlu bagi mencegah dan meminimumkan ancaman ‘Anonymous Malaysia’ untuk menggodam laman web kerajaan.

Majlis Keselamatan Negara melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) memandang serius ancamana tersebut yang tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan di sini, MKN berkata, pihaknya bersama NACSA sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengkordinasi dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kerajaan amat mengambil berat dan memberi keutamaan terhadap keselamatan infrastruktur teknologi maklumat kerajaan, serta sistem-sistem kritikal negara dengan menggariskan tindakan-tindakan pengukuhan sistem teknologi maklumat termasuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai berkaitan,” kata MKN.

Menurut MKN, tindakan tersebut jelas digariskan menerusi Strategi Keselematan Siber Malaysia (MCSS) yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu.

Strategi tersebut, katanya, menggariskan tindakan bagi mengukuhkan sistem ICT kerajaan serta sistem kritikal negara termasuk menginkatkan pengetahuan serta kemahiran pegawai yang berkaitan.

Semalam tular satu video berdurasi 2 minit 29 saat menggunakan nama Anonymous Malaysia memberi amaran akan melakukan serangan siber terhadap laman sesawang serta aset dalam talian kerajaan.

Kumpulan itu mendakwa sistem keselamatan Malaysia sangat lemah sehingga mengakibatkan berlaku kebocoran data dan penggodam bertindak menjual data peribadi rakyat negara ini.

Anonymous Malaysia dalam video itu turut memetik isu kebocoran data syarikat telekomunikasi di negara ini dan serangan siber terhadap rangkaian Angkatan Tentera Malaysia baru-baru ini. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.