Home Sukan Lampard kecewa dipecat tanpa diberi masa secukupnya

Lampard kecewa dipecat tanpa diberi masa secukupnya

Lampard tidak bimbang mengenai masa depan di Stamford Bridge selepas pasukannya kalah di halaman sendiri kepada Man City dalam aksi EPL malam Ahad.Foto: AP

LONDON – Frank Lampard menyatakan kekecewaan selepas dipecat oleh Chelsea semalam sebagai pengurus kelab itu.

Bekas pemain kelab itu berpendapat, dia seharus diberikan lebih masa sebagai pengurus kelab untuk membina pasukan yang mantap pada masa depan.

Pemecatan itu menyusul selepas prestasi kelab didakwa merudum dan kelab menduduki tangga kesembilan dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Bekas pengurus Paris Saint Germain, Thomas Tuchel dikhabarkan bakal mengisi kerusi panas yang ditinggalkan Lampard.

Lampard menyiarkan komen dan mesej dalam laman media sosial peribadinya dan meluahkan kekesalan tidak diberi peluang secukupnya untuk membawa pasukan mencapai kegemilangan sebagai pengurus.

“Ia merupakan penghargaan kepada saya mengemudi pasukan Chelsea selama 571 hari yang pernah menjadi sebahagian dari kehidupan saya.

“Saya berterima kasih kepada para penyokong atas sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan selama 18 bulan lalu.

“Apabila saya mengambil alih kelab ini, saya sedar sepenuhnya risiko dan cabaran yang menanti saya tetapi gembira dengan pencapaian kelab setakat ini.

“Namun saya sangat kecewa kerana tidak diberi masa yang secukup untuk saya membina semula pasukan ini,” katanya.

Bagaimanapun bekas pemain itu gembira dengan usahanya yang berjaya membawa beberapa pemain akademik dalam kesebelasan utama di bawah kendaliannya.

Lampard juga menyatakan harapan tinggi kepada bakal penggantinya supaya terus memanfaatkan bakat muda dalam pasukan kerana mereka adalah masa depan kelab itu. -MalaysiaGazette