PADA tahun 2020, walaupun semasa mengalami impak pandemik Covid-19, Singapura meraih 25 kali ganda lebih banyak modal kewangan untuk syarikat permulaan teknologi (tech start-ups) berbanding Malaysia. Indonesia pula meraih 22 kali ganda. Vietnam, Filipina dan juga Myanmar kesemuanya mengatasi Malaysia – yang hanya mengatasi Kemboja dalam kalangan negara-negara ASEAN.
Oleh yang demikian, jelas sekali bahawa institusi yang ditugaskan untuk memodenkan ekonomi – termasuk MDEC – perlu meningkatkan usaha dan hasil dalam hal ini dan melakukannya secepat mungkin. Namun, mengubah situasi ini dan merapatkan jurang perbezaan bukanlah sesuatu yang dapat diselesaikan dengan cepat dan mudah.
Sebaliknya, ia memerlukan perubahan akar umbi corak pemikiran masyarakat.
Era digital yang dibawa oleh Revolusi Industri 4.0 (4IR) semakin menjelang dan ia membawa dengannya perubahan masyarakat yang sangat bersepadu dengan teknologi. Misi ‘Malaysia 5.0’ adalah untuk memastikan perubahan ini bersifat inklusif dan adil dan tidak meluaskan lagi jurang perbezaan antara rakyat dalam semua aspek sosioekonomi.
Melalui langkah-langkah yang diambil untuk mencapai visi ini, Malaysia 5.0 menumpukan usaha ke arah wawasan penyatuan masyarakat yang menjangkau kepercayaan dan identiti perkauman ke arah nilai-nilai murni yang mempromosikan kesejahteraan bersama. Teknologi hebat 4IR seperti kecerdasan buatan (artificial intelligence; AI), rantai blok (blockchain), dan Internet Pelbagai Benda (Internet of Things; IOT) akan membawa transformasi digital masyarakat yang mempunyai potensi buat pertama kalinya dalam sejarah manusia untuk menghasilkan ‘desentralisasi data’ dan pengagihan sumber maklumat kepada pemilik/pencipta data atau maklumat tersebut- sekali gus mengakibatkan pendemokrasian data, maklumat dan ilmu pengetahuan yang mampu dimanfaatkan oleh rakyat.
Ini menjadi tugas penting MDEC untuk melengkapi rakyat dengan alat dan kemahiran untuk tidak hanya menjadi pengguna teknologi 4IR di era teknologi yang mengganggu (disruptive technology), tetapi juga berkembang maju sebagai penambah nilai dan penghasil teknologi. Ini dijangkakan dapat menyumbang kepada kemajuan peribadi dan pertumbuhan ekonomi yang dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat tanpa meninggalkan sesiapapun di belakang.
Menjelang ulang tahun Jubli Perak ke-25 tahun ini, kami telah mengumumkan misi ‘Reinvent’ MDEC yang menandakan anjakan paradigma baru untuk bersiap sedia menghadapi norma baharu yang belum diterokai dan akan kekal lebih lama daripada jangkaan ramai.
Misi ‘Reinvent’ kami membawa pendekatan dan perspektif baru yang diperlukan untuk menjadikan Ekonomi Digital sebagai pemacu utama pertumbuhan negara.
Ciri utama misi ini adalah:
1. Ketelusan secara menyeluruh dan tadbir urus yang baik;
2. Pendidikan dari peringkat sekolah rendah hingga ke pengajian tinggi; dan
3. Kerjasama antara kerajaan dan seluruh sektor swasta.
Berpandukan ciri utama di atas, hasil tinjauan dan kajian bebas secara menyeluruh ke atas status tadbir urus sedia ada (bagi menilai semula kemampuan dan keupayaan untuk melaksanakan misi ‘Reinvent’ kami), MDEC telah menyaksikan proses pergerakan modal insan dalam semua peringkat yang membolehkan kami membawa masuk bakat yang fokus pada industri dan ahli teknokrat. Ini adalah tambahan modal insan kepada bakat luar biasa yang sudahpun ada di organisasi MDEC.
Ciri utama ke-2 melibatkan pendidikan yang komprehensif, menyeluruh dan holistik untuk meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap teknologi 4IR dan meningkatkan ketersediaan teknologi 4IR untuk PKS (terutamanya PKS kecil dan mikro yang mempunyai risiko besar jika ketinggalan dalam transformasi teknologi 4IR yang dilaksanakan secara meluas).
Ciri utama ke-3 berkaitan usaha jangkauan dan penglibatan secara meluas untuk menerapkan minat dan integrasi teknologi maju antara semua sektor ekonomi. Usaha ini memastikan pertumbuhan secara menyeluruh dan membolehkan pertumbuhan dan perkembangan segmen yang kurang diberi tumpuan, terutamanya bagi kawasan luar
bandar.
4IR mempunyai kebolehan untuk membawa perubahan seperti yang diingini bersama naratif baru yang membawa masyarakat menjangkau era informasi dan ke era 4IR dan transformasi digital berpusatkan rakyat dan bukan sebaliknya – iaitu era Malaysia 5.0 seperti yang kita sebutkan – dimana desentralisasi data dapat dicapai dan maklumat dikendalikan oleh pemiliknya untuk manfaat masing-masing.
Jelas sekali mencapai misi ini adalah tugas besar di luar kemampuan mana-mana institusi secara sendiri. Wawasan ini mestilah menjadi matlamat bersama dalam kementerian, antara kementerian, dalam agensi-agensi kerajaan dan antara agensi-agensi kerajaan. Kami melihat peranan MDEC sebagai salah satu pihak antara yang lain dalam memimpin penglibatan semua lapisan masyarakat untuk mengambil bahagian dan menyumbang ke arah pemikiran baru yang diperlukan untuk mendokong aspirasi dan wawasan Malaysia 5.0, iaitu sebuah masyarakat yang sangat bersepadu dengan teknologi, dan ditadbir oleh prinsip dan amalan ‘eco-vironmental’ yang inklusif, adil, dan saksama.
Dalam memainkan peranan saya sebagai Pengerusi MDEC, saya telah memacu naratif Malaysia 5.0 ini yang memupuk budaya penglibatan menyeluruh di mana faedah sosial adalah hak milik rakyat dan menjadi manfaat bersama. Ia mempunyai tiga komponen utama: Pertama, menanam falsafah identiti teras baru yang melangkaui sumber perpecahan pada masyarakat dan individu dan mengangkat tinggi nilai kemakmuran bersama. Kedua, Menerima pakai, menambah nilai, dan menghasilkan transformasi digital dan teknologi 4IR yang berpusat di sekitar penyelesaian masalah ‘eco-vironmental’.
Ketiga, melahirkan masyarakat yang serba boleh iaitu berkedudukan baik dan berdaya maju untuk menghadapi, menavigasi dan memajukan 4IR. Matlamat Malaysia 5.0 merangkumi penggalakan pertumbuhan dan kemajuan untuk semua; integrasi teknologi 4IR secara mendalam di setiap lapisan masyarakat: individu, industri, 3
kerajaan dan persekitaran; dan perubahan dan reformasi sistem pendidikan kebangsaan untuk mencerminkan realiti dunia sebenar (4IR) dari sekolah rendah hingga ke pengajian tinggi. 4IR dan transformasi digital adalah perubahan global yang tidak dapat dielakkan dan Malaysia perlu mengambil tindakan sewajarnya sekarang juga, berlandaskan wawasan Malaysia 5.0, supaya tidak ketinggalan zaman. Bak kata pepatah Inggeris, “time and tide waits for no man”.
Dr Rais Hussin
Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (Malaysia Digital Economy
Corporation; MDEC) yang menerajui ekonomi digital Malaysia untuk semua.