Home Sukan Selangor FC ikat kontrak pemain Switzerland Oliver Buff

Selangor FC ikat kontrak pemain Switzerland Oliver Buff

Oliver Buff

SHAH ALAM – Selangor FC mengikat kontrak pemain dari Switzerland, Oliver Buff untuk memperkuatkan barisan tengah pasukan itu bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021.

Selangor FC mengesahkan mendapatkan khidmat pemain baharu kelimanya itu, berasal dari Baden, Switzerland yang mesra dengan panggilan Oli dalam satu kenyataan di laman web www.selangorfc.com hari ini.

Menurut pasukan Gergasi Merah itu, Oli pernah membarisi skuad remaja Switzerland dan beraksi dalam beberapa kejohanan antarabangsa termasuk Sukan Olimpik 2012 di London selain menjulang kejuaraan Piala Dunia B-17 bersama negaranya pada 2009

Oli juga pernah menyarung jersi pasukan remaja FC Zürich di Switzerland dari 2007 dan melakukan penampilan sulung untuk pasukan utama kelab gergasi negara tersebut pada pertengahan 2010.

Oli juga antara tonggak utama pasukan FC Zürich sewaktu membantu kelab itu menjulang Piala Swiss untuk dua musim, 2013/2014 dan 2015/2016. Menurut data transfermarkt.com, pemain ini telah membuat 217 penampilan dan menjaringkan 28 gol serta 31 bantuan gol untuk kelab tersebut, menurut kenyataan berkenaan.

Selangor FC memaklumkan Oli kemudian berhijrah ke Sepanyol pada 2017 untuk beraksi bersama pasukan divisyen dua Real Zaragoza dengan melakukan 41 penampilan sepanjang dua tahun bersama kelab tersebut.

Menurut kenyataan itu, pemain tengah berkenaan melebarkan pula kariernya ke Cyprus dengan menyertai pasukan divisyen satu, kelab Anorthosis Famagusta dan kembali ke negara asalnya Switzerland untuk beraksi selama satu musim bersama kelab divisyen dua, Grasshopper Club Zurich.

Justeru, kata Selangor FC, skuad Merah Kuning itu merupakan kelab bola sepak Asia pertama disertai Oli untuk mengembangkan lagi kariernya dalam sukan berkenaan.

Selain Oli, empat pemain baharu yang diperkenalkan Selangor FC untuk beraksi dalam saingan Liga-M 2021 ialah Shahrel Fikri Md Fauzi, Tim Heubach, R. Dinesh dan Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim.- BERNAMA