Home Dunia 31 pegawai polis gunting rambut beramai-ramai di balai kena denda

31 pegawai polis gunting rambut beramai-ramai di balai kena denda

Seramai 31 pegawai polis Metropolitan di Kota London didenda kerana ingkar SOP Covid-19 dan memotong rambut di balai polis.-pix agensi

LONDON – Sekumpulan 31 orang pegawai polis Metropolitan di United Kingdom bakal didenda 200 pound setiap seorang gara-gara mengunting rambut semasa bertugas.

Setiap seorang dikenakan denda 200 pound selepas didapati mengingkar peraturan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 yang dikuatkuasakan di ibu kota London.

Tindakan tatatertib itu dikenakan selepas kesemua pegawai polis itu didakwa mengupah seorang tukang gunting rambut profesional ke balai polis dan menggunting rambut beramai-ramai.

Insiden itu dilaporkan berlaku pada 17 Januari lalu.

Inkuiri dalaman telah dilancarkan terhadap kesemua 31 pegawai polis itu dan mereka akan dikenakan hukuman denda.

Sementara dua daripada pegawai itu yang dikenalpasti bertanggungjawab menganjurkan program memotong rambut itu telah dirujuk kepada jawatankuasa siasatan tatatertib atas kesalahan menyalahgunakan kuasa semasa Covid-19.

Komander Polis Komuniti Ketua Detektif, Superintendan Marcus Barnett berkata, tindakan pegawai polis terbabit sangat mengecewakannya.

“Saya kesal dengan tindakan para pegawai saya yang sepatutnya mematuhi dan menguatkuasakan SOP Covid-19 melanggar peraturan itu.

“Walaupun para pegawai berkenaan berniat mendermakan wang kepada tabung amal komuniti tempatan dengan kaedah program memotong rambut, ia bukan alasan untuk mereka mewajarkan perbuatan dan mengingkar SOP Covid-19.

“Mereka wajar dikenakan denda dan juga tindakan salah laku ke atas dua pegawai yang mengendalikan sesi potong rambut itu.

“Polis patut menjadi contoh kepada rakyat untuk mematuhi peraturan untuk melandaikan keluk Covid-19 kerana undang-undang itu digunapakai untuk semua termasuk awam.

“Hukuman ini diyakini membuktikan polis tidak kebal di sisi undang-undang dan mereka juga perlu mematuhi SOP dan undang-undang yang dikuatkuasakan kerajaan,” tegas beliau.- MalaysiaGazette