Home Sukan Guardiola puas hati City benam West Brom

Guardiola puas hati City benam West Brom

Pep Guadriola

WEST BROMWICH – Pep Guardiola berpuas hati dengan keputusan yang dicapai pasukannya apabila berjaya membenam West Brom 5-0 pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), membolehkan pasukan tersebut menduduki tangga teratas liga dan ia merupakan kemenangan kali ke-11 berturut-turut.

Pengendali Manchester City itu turut memuji pemain Jerman, Ilkay Gundogan apabila meledak dua gol, sekali gus membuktikan bahawa tonggak tengah itu adalah salah seorang pemain yang boleh dijadikan senjata memburu jaringan.

“Keputusan yang baik, secara keseluruhan ia adalah persembahan cemerlang dan memperoleh tiga mata lagi.

“Apabila dia berada berdekatan dengan kotak penalti, dia mempunyai naluri untuk melakukan larian baik masuk ke dalam kawasan berkenaan,” katanya.

Selain Gundogan, City memperoleh jaringan melalui, Joao Cancelo, Riyad Mahrez dan Raheem Sterling, lantas berjaya memintas seteru tetangga, Manchester United dengan kelebihan satu mata.

The Baggies adalah pasukan terakhir yang berjaya mencuri mata City selepas mencatat keputusan seri 1-1 di Etihad bulan lalu namun, ketika itu ia masih belum cukup untuk menghalang Slaven Bilic daripada dipecat.

Bagaimanapun, pelantikan Sam Allardyce setakat ini tidak banyak membawa perubahan kepada West Brom untuk keluar dari kedudukan bahaya selepas kekal di tangga kedua terbawah dan enam mata dari zon selamat. – MalaysiaGazette