Home Nasional Rakyat luah rasa lega jika PKPB ganti PKP

Rakyat luah rasa lega jika PKPB ganti PKP

Suasana lengang di hadapan Menara Berkembar Petronas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Rata-rata orang awam memberi reaksi positif terhadap pengumuman kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 tidak akan disambung dan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada awal Februari.

PKP yang dilaksanakan sejak 13 Januari lalu dijadual berakhir pada 4 Februari ini.

Haziq Shamsul

Pemilik kedai aksesori motosikal, Haziq Shamsul, 26, menyambut baik perkara tersebut dan melahirkan rasa syukur berikutan perniagaan yang diusahakannya sejak empat tahun lalu itu turut terkena tempias susulan pelaksanaan PKP.

“Sebagai peniaga memang terkesan dengan impak PKP kerana orang hendak datang ke kedai pun susah, selain kontena yang membawa barangan dari luar negara juga menghadapi beberapa masalah.

“Jika PKP berakhir pada 4 Februari ini dan diganti dengan PKPB, saya sebagai peniaga memang berasa lega dan berharap ekonomi negara dan juga perniagaan saya mampu pulih semula.

“Ini kerana pelanggan saya bukan sahaja dari Sungai Besi malah seluruh Kuala Lumpur serta beberapa negeri lain, jadi mereka agak susah hendak ke sini kerana tidak boleh untuk rentas negeri,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette hari ini.

Fiera Azmi

Dalam pada itu, seorang pekerja swasta, Fiera Azmi, 29, berkata, PKP yang dilaksanakan ketika ini mempunyai sudut positif dan juga negatif ke atas rakyat.

Katanya, hasil pelaksanaan PKP pada tahun lalu ternyata berkesan dalam menurunkan kadar jangkitan Covid-19 sebelum negara sekali lagi dibadai gelombang ketiga wabak tersebut.

“Kalau nak elakkan daripada terkena virus Covid-19 sepatutnya langkah pencegahan harus lebih ketat seperti sekatan jalan raya yang lebih banyak dan menutup sementara sektor-sektor yang tidak berkaitan atau tidak penting.

“Tapi dari sudut negatif pula, kita tahu ramai yang hilang kerja dan tiada punca pendapatan namun dalam masa sama kerajaan turut hulurkan bantuan kewangan,” katanya.

Mat Osman

Manakala bagi seorang pesara, Mat Osman, 56, dia bersetuju sekiranya kerajaan tidak melanjutkan PKP dan melaksanakan PKPB dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Jelasnya, PKP yang dikuatkuasakan ketika ini memberi impak secara terus ke atas para peniaga.

“Jika PKPB dibuat semula, bolehlah orang ramai keluar untuk makan di kedai, sekali gus dapat menyokong peniaga. 

“PKP ini masalah kepada peniaga-peniaga kecil kerana mereka ini ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kalau yang dah kerja tetap memang tiada masalah tapi mereka yang bekerja sendiri yang bermasalah,” ujarnya.

Rosni Abdullah

Sementara itu, seorang peniaga kedai makan, Rosni Abdullah, 58, berkata, sama ada PKP atau PKPB dilaksanakan oleh kerajaan, dia memohon supaya kesemua peniaga dapat menjalankan urusan mereka seperti biasa tanpa perlu menutup perniagaan.

“Bagi saya mana-mana pun boleh, janji perniagaan jangan ditutup untuk kesenangan semua orang beli makanan,” katanya.

Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, PKP di seluruh negara kecuali Sarawak yang dijual berakhir pada 4 Februari ini tidak akan dilanjutkan.

Kata beliau, keputusan itu diambil bagi mengelak kesan negatif terhadap ekonomi negara susulan pelaksanaan PKP. – MalaysiaGazette