KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempergiatkan lagi usaha mereka dalam projek pemulihan hutan bakau dengan sasaran menanam 7,000 anak benih di Sungai Limau, Manjung di Perak bagi tempoh dua tahun sehingga Disember 2022 akan datang.
Inisiatif hijau itu adalah fasa kedua projek berasaskan komuniti yang dilaksanakan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Global Environment Centre (GEC), Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, Komuniti Sungai Limau, Sahabat Hutan Bakau Kuala Gula dan Sahabat Hutan Bakau Lekir Sitiawan.
Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek berkata, melalui fasa pertama inisiatif ini, sebanyak 10,600 anak benih bakau telah ditanam di kawasan seluas hampir empat hektar di Manjung.
“Usaha ini dimulakan pada tahun 2019 lalu untuk menggalakkan sifat kepemilikan dalam kalangan komuniti agar terus melindungi hutan bakau yang menjadi habitat kepada ribuan spesis.
“Sebagai syarikat yang mengambil berat terhadap alam sekitar, kami komited untuk menghijaukan bumi, selaras dengan nilai teras kami iaitu Prihatin, yang menghormati dan menjaga komuniti serta alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, sejumlah 23,600 anak benih bakau telah ditanam setakat ini, dengan 18,800 di Manjung; dan 4,800 di tempat lain di Perak, Selangor, Perlis dan Pulau Pinang. Dengan tambahan 7,000 yang bakal ditanam di Manjung dan 1,000 di Jimah, Port Dickson, ia menjadikan sejumlah 31,600 anak benih bakal ditanam menjelang 2022.
Pengarah GEC, Faizal Parish berkata, penanaman anak benih bakau di Sungai Limau membantu memulakan proses pemulihan ekologi kawasan itu yang terjejas akibat ketiadaan arus pasang surut.
“Dengan bantuan 10 ahli Sahabat Hutan Bakau Kuala Gula, kami telah menggali parit sepanjang 150 meter untuk membolehkan air laut membanjiri kawasan yang bakal ditanam dengan anak benih bakau dan seterusnya memulihkan habitat semulajadinya.
“Penduduk Sungai Limau bersama Sahabat Hutan Bakau Kuala Gula dan Sahabat Hutan Bakau Pasir Panjang Laut akan bekerjasama dalam usaha pemulihan termasuk membekal, menanam, melakukan pemeriksaan berkala dan pemantauan anak benih tersebut.” katanya. -MalaysiaGazette