KUALA LUMPUR – Sebanyak sembilan kilang ditutup kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan terdapat jangkitan wabak Covid-19 di kalangan pekerja mereka.
Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu telah dimaklumkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Jelas beliau, ini menunjukkan ketegasan kerajaan membendung penularan wabak di sektor perkilangan yang dikaitkan dengan kluster Covid-19.
“Sektor kilang memang menjadi penyumbang terbanyak bagi kluster Covid-19. Sebab itu kerajaan memang tegas yang pertama di mana pekerja warga asing di kilang wajib buat dan kalau gagal tindakan akan diambil.
“Tindakan kedua kalau berlaku kes positif, kilang akan ditutup sementara. Setakat ini, sembilan kilang sudah ditutup kerana gagal mematuhi SOP dan ada kes dijangkiti.
“Ini dimaklumkan oleh MITI. Selain kilang, 16 premis bukan kilang ditutup degil dan diarah ditutup sementara dan kita pastikan kakitangan mereka bebas Covid-19 dan itu jaminan kerajaan,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung hari ini.
Beliau diminta mengulas trend kenaikan kes di kilang dan apa tindakan yang telah diambil kerajaan.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, keputusan kerajaan membenarkan pasangan suami isteri jarak jauh untuk mereka merentas negeri atas dasar perikemanusiaan.
Jelas beliau, berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, ada dalam kalangan mereka yang tidak dapat berjumpa suami atau isteri dan anak-anak sehingga tiga bulan.
Jadi, kerajaan berpendapat kebenaran berjumpa perlu diberikan untuk terdapat faktor seperti persediaan sekolah anak-anak.
“Kalau dulu PKP, selama dua hingga bulan mereka tidak ziarah anak dan ada yang tidak hingga terpisah begitu lama.
“Namun atas dasar perikemanusian kita benarkan dan mereka mesti mendapat kebenaran polis dan membukti pasangan jarak jauh dan tidak boleh merentas negeri sesuka hati,” katanya.- MalaysiaGazette