Lazimnya Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves akan menyaksikan lautan penganut Hindu dan pelancong asing yang membanjiri kawasan tersebut untuk sama-sama merayakan Thaipusam serta meniti 272 anak tangga beramai-ramai.
Kali ini suasana nyata berbeza selepas genap setahun negara dilanda wabak Covid-19 dan kerajaan memutuskan tiada sambutan Thaipusam dibenarkan.
Meskipun tiada perarakan pada Hari Thaipusam tahun ini namun, perayaan sempena memperingati kelahiran Dewa Murugan itu masih boleh diraikan dengan bersembahyang di rumah masing-masing.
Dr. Siva Sri Ragu Gurukkal, 54, seorang sami yang sudah lebih 30 tahun berkhidmat di Kuil Arulmigu Sri Nageswari Jai Muniswarar, Salak Selatan menyatakan upacara keagamaan tersebut perlu disempurnakan dengan sebaik mungkin walaupun nyata berbeza daripada kelaziman sebelum ini.
Jelasnya lagi, rumah ibadat tersebut mempunyai nilai sentimental yang tersendiri kerana ia diwujudkan atas usaha bersama beberapa orang rakan selain faktor dirinya yang sudah lama menabur bakti di situ.
Baginya perayaan Thaipusam ketika musim pandemik Covid-19 merupakan satu pengalaman baharu yang tidak akan dilupakan kerana ketiadaan warna-warni suasana penganut membawa ‘kavadi’ atau memecahkan kelapa serta mencuku rambut secara beramai-ramai.