Home Seni Hidup Sambutan Thaipusam dalam norma baharu PKP

Sambutan Thaipusam dalam norma baharu PKP

Anggota polis mengawal di perkarangan Kuil Sri Subramaniar Swamy sempena sambutan Thaipusam semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Batu Caves, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Thaipusam kali ini disambut dalam norma baharu termasuk di Batu Caves di sini ekoran perintah kawalan membendung penularan Covid-19.

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati kawasan keluar masuk kuil Sri Subramaniyar  dikawal ketat oleh pihak berkuasa supaya tidak ada pergerakan beramai-ramai selain memastikan arahan dipatuhi.

Penganut Hindu selepas melakukan ritual keagamaan sempena sambutan Thaipusam semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Batu Caves, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2021.

Pemegang Amanah Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam, Datuk Sivakumar Nadarajah berkata, pihaknya cukup memahami peraturan serta undang-undang diperuntukan oleh kerajaan demi keselamatan rakyat.

“Kita sebenarnya cukup berterima kasih kerana upacara penuh bermakna untuk Dewa Muruga yang telah kita amalkan untuk sekian lama terus dibenarkan walaupun dengan syarat cukup ketat.

Pemegang Amanah Kuil Sri Mahamariamman, Datuk Sivakumar. foto HAZROL ZAINAL.

“Kebebasan beragama di negara dengan menghormati antara satu sama amat dihargai dan penghargaan tidak terhingga kami berikan kepada semua yang bertungkus lumus dalam memastikan semuanya berjalan dengan lancar dalam norma baharu.

“Semua penganut kita boleh menyaksikan kesemua upacara itu melalui halaman We Love Batu Caves di Facebook dan YouTube yang akan berlangsung secara live,” ujarnya.

Selain itu, isu berkaitan pendati arca Dewa Murugan yang dibawa dari Jalan Tun H S Lee ke kuil Sri Subramaniam di Batu Caves dapat dilakukan secara teratur dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Dalam pada itu, suasana perayaan tetap terasa walaupun tidak semeriah dahulu dan sejak semalam, media sosial, televisyen serta radio tempatan India mula berkumandang upacara serta ritual yang sedang berlangsung di kuil-kuil terkemuka di negara ini.

Ekoran larangan berkumpul di kuil kerana penularan pandemik Covid-19 yang belum nampak surutnya, rata-rata penganut Hindu melakukan ritual mengikut kepercayaan di rumah masing-masing bersama keluarga sejak awal pagi tadi.

Penganut Hindu melakukan ritual keagamaan sempena sambutan Thaipusam semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Batu Caves, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2021.

Selain itu ramai juga pemimpin utama termasuk Yang DiPertuan Agong tampil mengucapkan ucapan Thaipusam kepada semua penganut Dewa Muruga.

Thaipusam merupakan perayaan disambut penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan ‘Thai’, iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil bagi memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci.

Lembing itu Dewa Muruga diberikan oleh ibunya Dewi Parvati bagi menghapuskan kuasa jahat, Soorapadman, dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.

Rata-rata penganut yang sebelum ini akan bernazar sebelum membawa belanga susu, kavadi, upacara membotakkan kepala serta lain-lain akhirnya melakukan apa yang mereka hajati hari ini.

Sebelum ini Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan Majlis Keselamatan Negara  meluluskan perarakan pedati yang membawa arca Dewa Murugan sempena perayaan Thaipusam.

Beliau berkata perarakan pedati membawa arca Dewa Murugan dari kuil Jalan Bandar ke Batu Caves semalam dan akan kembali dari Batu Caves ke kuil Jalan Bandar esok namun perlu mengikut syarat dan mematuhi SOP Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Selalunya, selain kuil Sri Subramaniyar yang terkenal dengan patung Dewa Murugan terbesar di dunia setinggi 42.7 menjadi tumpuan jutaan rakyat Malaysia serta pelancong serta rakyat tempatan, dua lagi lokasi ialah Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani di Pulau Pinang dan Kuil Arul Subramaniar Gunung Cheruh, Ipoh, Perak.

Namun kali ini semuanya terpaksa mengikut norma baharu apatah lagi ketika ini hampir kebanyakan negeri sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak membenarkan apa-apa pergerakan atau berkumpul dalam kumpulan besar. -MalaysiaGazette