Home Nasional Hanya 10 juta beri maklum balas Banci Malaysia 2020

Hanya 10 juta beri maklum balas Banci Malaysia 2020

Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR – Respons Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) telah mencapai 10 juta penduduk atau 30.4 peratus berbanding anggaran penduduk tahun 2020.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sehingga hari ini sebanyak 3.3 juta tempat kediaman telah dibanci.

Menurutnya, dianggarkan seramai 22.7 juta penduduk atau 69.4 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk Malaysia masih belum mengisi Banci Malaysia 2020.

Selain itu, terdapat 320,000 isi rumah yang melibatkan 1.2 juta penduduk telah mendaftar di platform e-Census tetapi masih belum melengkapkan pengisian e-Census sepenuhnya.

Bagi mengurangkan kontak bersemuka, diharapkan semua penduduk Malaysia dapat memberi kerjasama dengan mengisi segera maklumat banci secara dalam talian melalui www.mycensus.gov.my.

Sehingga kini, empat negeri mencatatkan respons bilangan penduduk tertinggi iaitu Putrajaya (90.9%), Johor (48.2%), Perlis (45.0%) dan Perak (43.5%).

Manakala yang terendah ialah Sabah (8.9%), Labuan (17.6%) dan Sarawak (18.9%).

Selebihnya ialah Melaka (38.9%), Pulau Pinang (38.0%), Negeri Sembilan (35.2%), Terengganu (32.5%), Selangor (31.4%), Kuala Lumpur (28.4%), Kelantan (27.3%), Kedah (25.8%) dan Pahang (24.0%).

Daripada dapatan 10 juta penduduk Malaysia yang direkodkan ini, 50.1 peratus ialah perempuan manakala 49.9 peratus ialah lelaki.
Bagi statistik warganegara, etnik Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak (67.1%), diikuti etnik Cina (26.0%), India (6.3%) dan lain-lain (0.6%), manakala bukan warganegara adalah sebanyak 2.3 peratus.

Statistik kumpulan umur pula menunjukkan 6.3 peratus adalah dalam kalangan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas, 69.5 peratus ialah umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan 24.3 peratus di kalangan umur muda (0 – 14 tahun).

Mohd Uzir menyeru semua penduduk menjayakan Banci Malaysia 2020 dalam memastikan tiada yang ketinggalan demi masa depan negara dan kemakmuran bersama. – MalaysiaGazette