SINGAPURA – Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menerima dos kedua vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech, di Hospital Besar Singapura, hari ini.
“Dengan ini, saya telah melengkapkan regimen penuh vaksinasi,” kata Lee menerusi laman Facebooknya dengan turut memuat naik video beliau diberikan suntikan berkenaan.
“Sama seperti suntikan pertama dulu, ia cepat dan tidak menyakitkan. Doktor memantau keadaan saya selama 30 minit sebagai langkah berjaga-jaga selepas itu. Sukacita untuk berkongsi bahawa saya berasa sihat,” katanya.
Menurut Lee, Singapura sedang mempergiatkan program vaksin dengan membuka lebih banyak pusat vaksinasi.
“Dapatkan vaksinasi anda apabila tiba giliran anda. Vaksinasi ini akan melindungi bukan hanya diri anda, malah keluarga, rakan dan semua orang yang mempunyai kontak dengan anda,” demikian nasihat Lee.
Lebih 50 individu menerima dos kedua vaksin mereka sekali gus menyempurnakan rejimen penuh vaksinasi, katanya.
Penghantaran pertama vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 tiba di Singapura pada 21 Dis tahun lepas.
Republik itu memulakan program vaksinasi pada 30 Dis dengan pekerja kesihatan di Pusat Nasional Penyakit Berjangkit (NCID) menjadi golongan pertama menerima suntikan vaksin.
— BERNAMA