KUALA LUMPUR – Penyewa rumah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) menikmati diskaun 50 peratus bermula Januari sehingga Mac depan.
Potongan kadar sewa itu turut diberikan kepada penyewa premis perniagaan di Wilayah Persekutuan.
Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, inisiatif itu bagi membantu golongan yang terjejas akibat Perintah kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 kali ini.
“Sungguhpun PKP kali ini, peniaga boleh berniaga, kita tahu perniagaan mereka cukup terjejas. Pendapatan keluarga di PPR turut menerima kesan.
“Demi terus membantu mereka, kesemua penyewa rumah murah DBKL, PPj, PL dan penyewa premis niaga DI BERIKAN DISKAUN 50% ,Januari hingga Mac 2021,” ciapannya di Twitter hari ini.
Kerajaan melaksanakan PKP 2.0 bermula 13 Januari yang lalu dan dijangkakan tamat pada 4 Febuari 2021.
Keputusan itu diambil berikutan peningkatan kes positif Covid-19 dalam negara.
Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan kes positif baharu sebanyak 5,725 dan 301 daripada keseluruhan kes itu adalah pesakit yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).-MalaysiaGazette