Home Nasional Skop program saringan pekerja asing diperluaskan bendung Covid-19 – Saravanan

Skop program saringan pekerja asing diperluaskan bendung Covid-19 – Saravanan

Kementerian Sumber Manusia akan meluaskan skop Program Saringan Covid-19 bagi pekerja asing ke seluruh negara bermula 2 Februari ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia akan meluaskan skop Program Saringan Covid-19 bagi pekerja asing ke seluruh negara bermula 2 Februari ini.

Menterinya, Datuk M. Saravanan berkata, program itu dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama klinik-klinik swasta di seluruh negara.

Senarai klinik yang menawarkan saringan Covid-19 di bawah program itu boleh didapati di Portal Program Saringan Prihatin.

“Ujian saringan ini menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di mana kos bagi kit ujian dibiayai oleh PERKESO.

“Majikan hanya perlu membiayai kos perkhidmatan yang dikenakan oleh klinik atau hospital. PERKESO telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM54 juta bagi peluasan skop saringan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi pekerja asing yang bukan pencarum PERKESO, kos saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan.

Keperluan menjalani saringan Covid-19 ini diwajibkan oleh kerajaan melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Pematuhan kepada keperluan ini akan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.

Maklumat lanjut berkenaan program ini termasuk senarai klinik akan dikemaskini di Portal PSP (https://psp.perkeso.gov.my) dari semasa ke semasa.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui emel
[email protected] atau talian hotline 1-300-22-8000 atau 03-4264 5089.- MalaysiaGazette