KAJANG – Peniaga-peniaga pasar malam menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan susulan membenarkan mereka beroperasi bermula 4 petang hingga 10 malam.
Mewakili para persatuan pasar malam, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, keputusan itu sudah tentu membantu golongan peniaga kecil waktu pandemik untuk beroperasi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Saya mewakili persatuan-persatuan peniaga pasar malam mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, kerana semalam difahamkan kerajaan memberi kebenaran operasi perniagaan sehingga 10 malam dari 4 petang.
“Sebelum ini IKHLAS pernah bawa isu ini dan hari ini kita ucapkan terima kasih kepada kerajaan membenarkan operasi ini dibenarkan,” katanya ringkas ketika sidang media bersama peniaga Pasar Pagi Sungai Long di sini hari ini.
Untuk rekod baru-baru ini, kerajaan membenarkan pasar malam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ini beroperasi mengikut SOP, bagi membolehkan semua perniagaan beroperasi sehingga jam 10 malam berbanding 8 malam sebelum ini.
Kemas kini bertarikh 27 Jan itu menyatakan pasar malam dibenarkan beroperasi dari jam 4 petang hingga 10 malam.-MalaysiaGazette