Home Dunia Covid-19: Kehidupan tidak akan kembali normal sekurang-kurangnya 2 tahun lagi

Covid-19: Kehidupan tidak akan kembali normal sekurang-kurangnya 2 tahun lagi

LONDON – Kehidupan tidak akan kembali normal sekurang-kurangnya untuk tempoh dua atau tiga tahun lagi berdasarkan kepada kadar pelancaran vaksin Covid-19, kata seorang pakar kesihatan kepada Sky News.

Timbalan Professor (Dasar Kesihatan Global) di London School of Economics, Dr. Clare Wenham berkata, pandemik koronavirus ‘tidak akan berakhir’ sehingga semua populasi dunia dilindungi.

“Pada masa ini, data menunjukkan ia (akan normal) pada 2023 atau 2024 sebelum vaksin diedarkan kepada semua orang. Ia adalah masa yang panjang,” tambah beliau.

“Pandemik tidak akan berakhir sehinggan ia berakhir di seluruh dunia. Kita akan menjalani kehidupan dalam bentuk yang dihadkan – had pengembaraan dan pengawalan sempadan – malah apabila kita semua menerima vaksin, sehingga ia berakhir di seluruh dunia.

“Oleh itu, terdapat keutamaan sebenar untuk memastikan semua orang di seluruh dunia sekurang-kurangnya menerima vaksin pada tahap minimum,” katanya.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa United Kingdom (UK) menghentikan sementara kempen imunisasi apabila kumpulan yang terdedah kepada virus itu telah menerima suntikan dalam usaha mempromosikan pelancaran vaksin yang lebih adil di seluruh dunia.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom menyatakan tentang perlunya pengedaran vaksin yang adil dan beliau memberi amaran bahawa mentaliti ‘saya dahulu’ akan memanjangkan tempoh pandemik itu dan manusia akan terus menderita.

Wenham berkata: “Jika kita mahu sistem perdagangan dan pengembaraan global kembali normal, kita perlu memastikan semua menerima vaksin,”.

Tambah beliau: “Daripada aspek ekonomi untuk mengurangkan pengawalan sempadan dan kembali normal, kita perlu memastikan penduduk di seluruh dunia menerima vaksin yang mana kita tidak akan melihat varian baharu wujud,”. – MalaysiaGazette