Home SISWA Mahasiswa UMSKAL jahit sendiri pelitup muka untuk barisan hadapan

Mahasiswa UMSKAL jahit sendiri pelitup muka untuk barisan hadapan

Zamri (kanan) menyerahkan 500 pelindung muka kepada Dr Ismuni di Dewan Hospital Membedai Labuan.

JAWATANKUASA Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS), Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menyerahkan sebanyak 500 pelindung muka kepada petugas barisan hadapan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Labuan
(JKWPL) di Dewan Hospital Membedai Labuan baru-baru ini.

Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohammad Tuah yang mewakili Pengarah UMSKAL, Professor Dr Jualang Azlan Gansau menyerahkan sumbangan tersebut kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari.

Sebanyak 500 pelindung muka itu dijahit sendiri oleh 30 mahasiswa yang mewakili JAKMAS dan Pembimbing Suai Mesra (PSM) selama dua bulan.

Sumbangan pelindung muka itu sebagai simbolik penghargaan dan ucapan terima kasih serta keprihatinan mahasiswa UMSKAL kepada petugas barisan hadapan Jabatan Kesihatan Labuan yang berusaha gigih menangani pandemik Covid-19.

Yang Dipertua JAKMAS UMSKAL, Muhammad Afiq Naiser berkata, JAKMAS UMSKAL amat menghargai komitmen dan sumbangan petugas barisan hadapan JKWPL kepada kami di UMS Labuan.

“JKWPL telah banyak membantu mahasiswa dalam urusan kesihatan dan perubatan termasuk dalam urusan mencegah pandemik Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette