Home Sukan Nauraj perbaharui rekod kebangsaan acara lompat tinggi dalam dewan di Vienna

Nauraj perbaharui rekod kebangsaan acara lompat tinggi dalam dewan di Vienna

Nauraj
Nauraj Singh Randhawa

KUALA LUMPUR – Atlet lompat tinggi negara Nauraj Singh Randhawa, yang menyambut hari jadinya yang ke-29 pada Rabu, memperbaharui rekod kebangsaannya sendiri bagi acara dalam dewan di Kejohanan Indoor Track and Field Vienna 2021 pada Sabtu (awal pagi Ahad di Malaysia).

Nauraj merekodkan lompatan setinggi 2.20 meter (m), lebih 0.01 m untuk mencipta rekod baharu di Austria, menurut keputusan rasmi di http://www.trackandfieldvienna.com.

Rekod sebelumnya pada 2.19m dicatatkan pada Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Erdgas ke-21 di Chemnitz, Jerman pada 10 Februari 2019.

Pencapaian berkenaan juga membantu juara Sukan SEA tiga kali itu untuk menduduki tempat kedua di belakang pemenang pingat gangsa Piala Dunia 2018 Tobias Potye dari Jerman yang membuat lompatan setinggi 2.26m manakala atlet tuan rumah, Lionel-Afan Strasser menduduki tempat ketiga dengan catatan 2.11m.

Ini adalah kejohanan pertama Nauraj yang berpangkalan di Eropah setelah menunggu hampir setahun kerana pandemik COVID-19. Kali terakhir atlet kelahiran Johor itu bertanding di Sydney Track Classic (acara luar dewan) pada 22 Februari tahun lepas sebelum pandemik tersebut menyebabkan kalendar sukan antarabangsa terhenti.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, rekod tersebut akan disahkan secara rasmi setelah dokumen berkaitan diterima oleh Kesatuan Olahraga Malaysia.

“Satu permulaan yang baik bagi Nauraj dengan lompatan 2.20m bagi tahun ini. Nauraj akan terus berlatih di luar negara.

“Kita berharap beliau dapat mengekalkan prestasi ini dan seterusnya dapat mempamerkan prestasi terbaik (pada kejohanan) luar dewan kelak supaya boleh mendapatkan tempat ke Sukan Olimpik Tokyo secara merit nanti,” katanya kepada Bernama.

Nauraj, yang juga memegang rekod kebangsaan acara luar dewan 2.30m, perlu membuat lompatan 2.33m atau lebih untuk layak ke Olimpik Tokyo berdasarkan merit dengan tempoh kelayakan berakhir pada 29 Jun. – Bernama