Home Pendapat Pegangan agama ubat penyakit mental atau stres

Pegangan agama ubat penyakit mental atau stres

Gambar hiasan

SUSULAN kes dera yang bagai tidak berkesudahan dalam kalangan masyarakat sangat membuktikan bahawa mungkin terdapat satu atau beberapa elemen penting keperibadian yang hilang dalam diri golongan ini. Dengan pelbagai kemajuan dan
pencapaian masyarakat Malaysia hari ini, ia bagaikan tidak selari apabila kes-kes seperti ini terus meningkat.

Masalah mental yang sering diperkatakan kini tidak lagi boleh dipandang remeh atau seringkali dikaitkan dengan punca stres sahaja. Ini kerana terdapat banyak faktor boleh mengakibatkan seseorang mengalami situasi gangguan mental ini terutamanya apabila berdepan dengan masalah pandemik Covid-19 yang belum selesai dan masih dalam fasa mencari penyelesaian yang terbaik bagi mengawal penyebaran tersebut.

Ramai dalam kalangan masyarakat yang sumber pendapatannya terjejas, hilang, tidak terkesan dan ada juga segelintir yang lebih
maju dan menjana pendapatan yang lebih. Jika dilihat dari sudut yang positif, langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan ini sebenarnya boleh menjadi sebab kepada banyak perkara yang lebih baik terutamanya hubungan dengan ahli keluarga. Ini dapat dilihat daripada keadaan yang tidak membolehkan seseorang untuk keluar tanpa sebab menyebabkan kebanyakan masa akan dihabiskan di
rumah sahaja.

Jika sebelum PKP, masa mungkin menjadi masalah utama dalam sesebuah keluarga yang menyebabkan kerenggangan sesebuah hubungan atau punca tidak mengenal sikap dan sifat sebenar ahli keluarga terutamanya pasangan dan anak-anak, PKP ini mungkin boleh dijadikan iktibar untuk menghabiskan masa bersama-sama untuk merapatkan lagi hubungan kekeluargaan ini.Mengambil langkah yang positif dengan mengadaptasikan diri dengan situasi dan keadaan semasa amat perlu dalam keadaan yang tidak menentu kini.

Disebabkan itu, inilah masa yang paling sesuai untuk berbalik kepada suruhan agama Islam dan juga suruhan agama-agama lain yang sangat mementingkan hubungan kasih sayang dalam sesebuah keluarga. Sebagai contoh, dari surah At-Taubah: 71, Allah berfirman, ‘Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi
sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang maa’ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah
Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.’

Ayat tersebut jelas memberitahu supaya manusia tidak melakukan sesuatu yang salah dan berbalik kepada amalan yang disuruh dalam agama seperti mendirikan solat dan sebagainya. Mungkin ramai yang tidak sedar apabila seseorang berbalik
kepada ajaran dan amalan agamanya, sedikit sebanyak akan menghalang individu tersebut untuk melakukan perkara yang tidak baik. Ini juga termasuk pembentukan identiti seseorang individu terutamanya anak-anak yang akan bermula dari didikan yang diserapkan dari rumah melalui contoh ibu dan bapa mereka. Keperibadian yang baik boleh menjadi contoh dan tauladan dalam
membina sikap yang baik dan rasa kasih sayang sesama ahli keluarga.

Ini termasuklah daripada didikan agama dan amalan yang diterapkan dalam sesebuah keluarga tersebut. Apabila tiada elemen-elemen positif dan nilai murni yang telah disebutkan tadi, maka seseorang individu cenderung untuk melakukan sesuatu di luar batasan sehingga mencederakan orang lain ataupun diri sendiri. Kes-kes seperti ini tidak boleh dipandang mudah ataupun hanya dianggap sebagai tindakan luar sedar kerana menghadapi masalah mental atau stres yang melampau. Mungkin sudah tiba masanya masyarakat Malaysia yang terkenal dengan adab sopan dan berbudi pekerti ini kembali kepada ajaran agama masing-masing dalam mencari pegangan yang baik dalam mengawal keadaan diri supaya kekal positif.

Ini kerana semua agama akan menyuruh penganutnya ke arah kebaikan dan menjauhi perkara yang tidak baik. Sementara masyarakat sentiasa didedahkan bahawa penyakit mental yang
berpunca daripada keadaan stres ini sedang terus meningkat, ini tidak bermakna ia boleh dijadikan tiket atau sebab untuk membolehkan perilaku yang tidak baik terutamanya kes-kes dera, pembunuhan, buli dan sebagainya.  Secara tidak langsung ia akan menjadi panduan dan pegangan malah pengubat kepada penyakit yang semakin dipandang serius ini.

Dr. Safiyyah Ahmad Sabri
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia
71800 Nilai, N. Sembilan