KUALA LUMPUR – Walaupun berada positif dan menyambut baik inisitiaf kerajaan melaksanakan pembaharuan semula ibu negara agar lebih menarik dan kondusif namun warganya masih lagi merintih.
Ini kerana saban hari penularan Covid-19 semakin ‘agresif’ dan tiada tanda-tanda yang menunjukkania akan berkurangan.
Tinjauan MalaysiaGazette sekitar Kuala Lumpur mendapati rata-rata warganya terlupa bahawa esok adalah Hari Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Berikutan sambutan ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa telah membuat pengumuman perancangan membangunkan Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021.
Warganya berpendapat aspek ekonomi perlu diberi perhatian yang mana ia mampu meringankan beban namun usaha mengekang penularan Covid-19 tidak dilupakan dalam usaha membebaskan diri daripada wabak tersebut.
Anggota tentera, Muhammad Azreen Mustama yang menyambut baik terhadap pembinaan semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur namun isu-isu lain juga perlu diberi keutamaan.
“Pandemik ini telah menyebabkan semua orang susah, kami sendiri yang sentiasa diberikan tanggungjawab untuk turun jaga kawasan termasuklah Sekatan Jalan Raya (SJR) nampak sendiri apakah keperluan rakyat.
“Sememangnya inisiatif kerajaan melaksanakan pembaharuan bagi menjamin keselamatan dan kehidupan lebih baik harus dipuji tetapi pada masa sama, rakyat sedang sengsara.
“Semoga kerajaan terutamanya Kementerian Wilayah akan dapat berterusan merancang keperluan dan kehendak bagi golongan ini untuk meneruskan kehidupan harian mereka.
“Memang susah hati tengok keadaan rakyat kita yang begitu tersepit ketika ini,” katanya.
Menurut Muhammad Azreen, selain memodenkan PPR sedia ada untuk kehidupan lebih baik, golongan gelandangan yang masih lagi ramai perlu diberikan keutamaan kerana ia bukan sesuatu yang baharu.
Bagi anak kelahiran Kuala Lumpur, Nurul Shafiqah Hamdan yang merupakan seorang pereka bentuk, esok adalah hari istimewa buat warga kota.
“Macam saya, bahangnya tidak begitu terasa kerana masih ada kerja tetap tetapi ramai juga sedang begitu susah. Kalau kerajaan ada inisiatif untuk bangunkan KL memang baguslah.
“Tapi saya minta juga kerajaan fokus isu lain ketika pandemik ini, ekonomi semakin teruk dan rakyat seperti tidak terurus. Kebimbangan ini sangat nyata dan perlu diperhalusi,” ujarnya.
Sofea Sabrina Chu, 24, tidak mempunyai pengetahuan tentang apa yang berlaku disekelilinya kecuali isu Covid-19.
“Covid, Covid dan Covid sahaja. Tolonglah selesaikan ini dulu. Kalau ada rumah baik tapi virus ini tidak dapat dibendung memang susah sangat kehidupan kami.
“Saya kini bekerja di syarikat penghantar barang, hari-hari kami kerja sampai lupa apa yang berlaku sekeliling kami. Hanya dengan penyakit ini hilang, kehidupan kita akan kembali normal,” katanya.
Dalam pada itu, penjaja, Agus Mahya Mohammad yang telah lama berada di Kuala Lumpur berkata, kehidupan di ibu kota semakin sukar.
“Semakin susah, itu sahaja yang saya boleh ingat.
“Tapi saya gembira jika PPR yang usang ini dapat dibaharukan balik, sekurang-kurangnya kami dapat bernafas lega,” katanya.
Tukang masak, Sirajdeen Baharudin berkata, pembaharuan semula Kuala Lumpur bagi menjadikannya ibu kota maju, menarik merupakan perancangan yang baik.
“Ada tempat usang, jadi ini bagus. Tapi kerajaan juga perlu fokus dalam isu PKP ini. Angka semakin meningkat dan ramai sudah tidak duduk rumah lagi. Covid-19 juga penting,” jelasnya.
Manakala Nor Amin Haikal Azizan pula merasakan pengangguran juga perlu menjadi keutamaan kerana adalah sukar untuk mencari pekerjaan di Kuala Lumpur pada masa ini.
“Saya sendiri tidak ada kerja walaupun sudah tamat pengajian, kerja sekejap kemudian terpaksa berhenti kerana PKP. Susah begini, minta kerajaan fokus juga isu ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette