LONDON – Saingan Manchester United menjuarai Liga Perdana Inggeris terencat selepas seri tanpa jaringan dengan Arsenal pada perlawanan awal pagi tadi.
United mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol pada perlawanan itu namun pasukan pelawat tersebut mensia-siakannya.
The Red Devils kekal di tangga kedua liga dengan 41 mata, tiga mata di belakang pendahulu liga, Manchester City yang mempunyai kelebihan satu perlawanan.
Memburukkan keadaan, City melakukan apa yang tidak mampu dilakukan United pada Rabu lalu, iaitu menewaskan pasukan tercorot liga, Sheffield United 1-0 semalam.
Bagaimanapun Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer tidak memberi tumpuan kepada persaingan memenangi liga ketika ini.
“Saya tidak memikirkan tentang persaingan memenangi kejuaraan ketika ini. Ia baharu Januari,” katanya.
Arsenal melebarkan rekod tanpa kalah dalam tujuh perlawanan dan kekal berada pada tangga kesembilan liga dengan mengutip 31 mata.
“Saya rasa ia adalah keputusan yang adil. Saya rasa kedua-kedua pengurus akan mengatakan bahawa pasukan mereka berhak menang” kata Pengurus Arsenal, Mikel Arteta seperti dipetik agensi berita, AP.
Solskjaer melakukan lima pertukaran selepas tewas kepada Sheffield United dan pasukannya dihidangkan dengan beberapa peluang pada separuh masa pertama dengan rembatan Fred ditepis penjaga gol Arsenal, Bernd Leno pada minit ke-20.
Edinson Cavani hampir membolosi gawang Arsenal pada minit ke-59 namun bek kiri pasukan tuan rumah, Cedric Soares menyelamatkan pasukannya.
Nasib turut tidak menyebelahi Arsenal apabila tendangan percuma yang diambil Alexandre Lacazette pada minit ke-65 terkena palang selepas pemain itu dijatuhkan kapten United, Harry Maguire di luar kawasan penalti.
Seminit selepas itu, rembatan rendah Emile Smith Rowe diselamatkan penjaga gol United, David de Gea.
Arsenal tidak menurunkan tiga pemain utamanya, termasuk kapten, Pierre-Emerick Aubameyang yang menghadapi masalah keluarga; pemain sayap, Bukayo Saka dan bek kiri, Kieran Tierney yang mana kedua-duanya mengalami kecederaan. – MalaysiaGazette