Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani ketika dihubungi Bernama.
“Saya telah semak dengan Pesuruhjaya Polis Sabah (Datuk Hazani Ghazali) dan tiada sebarang letupan dibuat. Kemungkinan letupan yang didengari itu berpunca daripada aktiviti melibatkan petroleum. Boleh semak dengan Petronas,” katanya.
Penduduk di sekitar daerah Sipitang dan Beaufort di Sabah serta Labuan panik seketika apabila digemparkan dengan bunyi letupan dan gegaran pada kira-kira 11 pagi.
Mereka mendakwa letupan dan gegaran itu dirasai selama kira-kira 10 saat.
Jurucakap TLDM berkata latihan perang itu yang bertujuan mempersiapsiagakan aset Armada Timur di sini hanya dilaksanakan pada Khamis lepas.
“Negatif, bukan daripada TLDM memandangkan Latihan Perang Borneo berlaku pada 28 Jan sahaja,” menurutnya dalam mesej menerusi aplikasi WhatsApp.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Azmir Abdul Razak menafikan dakwaan pengguna media sosial bahawa kerja-kerja memusnahkan bom lama yang ditemui di Labuan baru-baru ini menjadi punca gegaran serta letupan itu kerana operasi memusnahkan bom dilakukan semalam. – MalaysiaGazette