TOKYO – Polis menahan seorang wanita selepas mayat ibunya ditemui dalam peti sejuk di flat kediamannya.
Yumi Yoshino, 48, berkata, dia menyembunyikan mayat itu selama 10 tahun lalu kerana enggan membawa ‘ibunya’ keluar dari rumah yang didiami bersama, lapor media yang memetik sumber polis.
Tidak ada sebarang luka kelihatan pada mayat yang beku itu, kata polis.
Pihak berkuasa tidak dapat menentukan masa dan sebab kematian wanita itu.
Mayat itu dijumpai oleh tukang bersih setelah Yoshino terpaksa meninggalkan kediaman kerana gagal menyelesaikan bayaran sewa.
Polis berkata, mayat tersebut telah dibengkokkan untuk dimasukkan ke dalam peti sejuk.
Yoshino ditangkap di sebuah hotel di bandar Chiba, dekat Tokyo. – MalaysiaGazette