Home Nasional Covid-19: Jangan jadikan pekerja asing sebagai kambing hitam

Covid-19: Jangan jadikan pekerja asing sebagai kambing hitam

Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) membidas kenyataan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan pengurusan kawasan kediaman dan kondominium menjadikan ujian calitan Covid-19 sebagai syarat wajib bagi penyewa terutamanya warga asing sebelum dibenarkan masuk ke kawasan itu.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader menegaskan, Akta Pengurusan Strata (SMA) 2013 tidak menyatakan serta membenarkan badan pengurusan bersama atau perbadanan pengurusan untuk memaksa penghuni menyerahkan hasil ujian calitan mereka atau menghalang mereka memasuki kawasan kesihatan sekiranya gagal berbuat demikian.

“Kenyataan yang menyasarkan orang asing itu adalah tidak bijak terutamanya apabila datang daripada seorang menteri kerana ia boleh mencetuskan serangan xenofobia terhadap pekerja asing yang telah membuat sumbangan besar terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

“Pekerja asing tidak seharusnya dijadikan kambing hitam dalam situasi Covid-19 yang semakin buruk. Malah, jelas keadaan pandemik itu lebih buruk selepas Pilihan Raya Sabah diadakan pada 26 September tahun lepas serta membenarkan orang ramai rentas negeri pada 7 Disember lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Jumaat lalu, Ismail Sabri menegaskan kerajaan tidak menghalang mana-mana pihak pengurusan kondominium atau kawasan perumahan untuk membuat peraturan menjalankan ujian calitan Covid-19 terhadap warga asing bagi menjaga keselamatan penduduk di kawasan mereka. – MalaysiaGazette