Home Nasional Lelaki Rohingya cuba menyelusup masuk Thailand diberkas

Lelaki Rohingya cuba menyelusup masuk Thailand diberkas

Suspek warga Rohingya diberkas polis selepas cuba menyelusup masuk ke Thailand secara haram.

KUALA NERANG – Tindakan seorang lelaki Rohingya cuba menyelusup masuk ke Thailand melalui Kompleks ICQS Kota Putra, di sini gagal selepas dia diberkas polis semalam.

Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan ketika sedang berjalan kaki seorang diri untuk masuk ke negara jiran pada pukul 11.15 pagi.

“Hasil siasatan mendapati suspek yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) itu datang dari Ipoh untuk menyelusup keluar.

“Kita sedang menyiasat sama ada penglibatan pihak lain untuk membantu suspek bolos keluar secara haram,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurutnya lagi, suspek dibawa di Balai Polis Kuala Nerang untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – MalaysiaGazette