Home Nasional Rasa sakit pada ketiak sebelum sedar cedera ditembak

Rasa sakit pada ketiak sebelum sedar cedera ditembak

Warga emas menyedari cedera ditembak selepas merasai kesakitan pada ketiaknya dalam kejadian semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas cedera akibat ditembak di sebuah restoran di Jalan Aminuddin Baki, Taman Tun Dr. Ismail di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Annuar Omar berkata, kejadian berlaku ketika pengadu sedang membersihkan dapur restoran itu pada jam 12.30 tengahari semalam.

“Pengadu rasa sakit pada bahagian ketiak sebelum menyedari ada kesan luka di situ dan melihat satu butir besi menyerupai peluru berhampiran kakinya,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Tambah Annuar, mangsa kemudian bergegas ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

“Kami menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini supaya menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 dan Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” kata beliau. – MalaysiaGazette