Home Nasional Sindiket penyeludupan air zam zam, rokok putih dan tembakau tumpas – JKDM

Sindiket penyeludupan air zam zam, rokok putih dan tembakau tumpas – JKDM

Abdul Latif Abdul Kadir

PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan tiga sindiket penyeludupan melibatkan air zam zam, tembakau dan rokok putih di dua lokasi iaitu Pelabuhan Klang dan Shah Alam pada 27 hingga 29 Jan lepas oleh pasukan bahagian penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit II Selangor.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, cubaan menyeludup dagangan yang disyaki air zam zam dengan menggunakan sebuah kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Klang berjaya dilumpuhkan pada 27 Januari lalu.

Beliau berkata, air zam zam diklasifikasi sebagai dagangan terlarang dan hasil pemeriksaan ke atas kontena itu mendapati ia telah diikrarkan bermuatan ‘personal effect’ dalam borang kastam bagi tujuan import.

“Kuantiti rampasan dianggarkan sebanyak 25,000 liter bernilai RM187,500 dengan jumlah cukai sebanyak RM48,750,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Latif berkata, pengimport dan ejen penghantaran yang disyaki terlibat dalam pengimportan air zam zam sedang disiasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Jika disabit bersalah, hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan atau RM50,000 yang mana lebih besar atau tidak lebih daripada dua kali ganda nilai barangan atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 20 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 40 kali ganda nilai barangan atau RM1 juta yang mana lebih besar atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi penyeludupan rokok putih, Abdul Latif berkata, cubaan itu dipatahkan pada 28 Januari lalu di Kota Kemuning, Shah Alam dengan rampasan 2.3 juta batang membabitkan sebuah lori dengan muatan kontena 40 kaki dengan anggaran nilai sebanyak RM184,000 dan anggaran cukai adalah sebanyak RM1.5 juta.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas kontena terbabit mendapati terdapat sejumlah rokok putih jenama ‘Zon King’ dan pemandu lori warganegara tempatan berumur 51 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 atas cubaan mengelakkan dengan fraud duti kastam serta mengelakkan larangan import mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 serta cubaan mengelakkan dengan fraud duti eksais di bawah Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.

Bagi penyeludupan tembakau pula, Abdul Latif berkata, sindiket itu berjaya ditumpaskan pada 29 Januari lalu di Pelabuhan Klang dengan rampasan seberat 15,000 kilogram dalam sebuah kontena bersaiz 40 kaki dengan anggaran nilai sebanyak RM225,000 dan cukai bernilai RM1.15 juta.

Katanya, ejen perkapalan yang disyaki terlibat sudah dikenal pasti dan tindakan sedang diambil untuk mengesan individu terbabit bagi membantu siasatan.

Kes tersebut disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 atas cubaan mengelakkan dengan fraud duti kastam serta mengelakkan larangan import mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 serta cubaan mengelakkan dengan fraud duti eksais di bawah Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.

Abdul Latif berkata, orang ramai digesa membantu JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan yang bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil malah mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat. – Bernama