KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) mengecam sindiran Datuk Seri Saifuddin Nasution apabila mempersoalkan “kebimbangan serius” negara berhubung penggantungan Parlimen dan demokrasi di Myanmar di sebalik pengisytiharan darurat di negara ini sejak tiga minggu lepas.
Ketuanya, Shahir Adnan berkata, Setiausaha Agung PKR itu mungkin terlepas pandang beberapa perkara gara-gara terlalu sibuk mencari jalan untuk meletakkan presiden partinya menjadi Perdana Menteri Malaysia.
“Pertama, pengisytiharan darurat di negara kita bertujuan untuk mengekang wabak Covid-19 dengan mengelakkan berlakunya sebarang Pilihan Raya Kecil atau Pilihanraya Umum pada waktu pandemik yang diunjurkan bakal melebihi 5,000 kes harian pada waktu itu.
“Faktanya hari ini, negara telah melihat unjuran menjadi kenyataan apabila 5,000 kes harian dicatatkan selama tiga hari berturut-turut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kedua Shahir berkata, pengisytiharan darurat di negara ini tidak bermotifkan politik apabila tiada seorang pun pemimpin pembangkang yang ditahan.
Keadaan itu katanya, berbeza dengan darurat di Myanmar apabila Penasihat Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi; Presiden U, Win Myint dan pemimpin politik kanan yang lain ditahan pihak tentera.
Sebaliknya kata beliau, pemimpin pembangkang di Malaysia tidak ditangkap, ditekan atau dikenakan sebarang tindakan.
“Ketiga, pengisytiharan darurat di negara kita bertujuan untuk menfokuskan kepada penyelesaian Covid-19 agar semua pihak, termasuklah di barisan hadapan, tidak terjerumus dengan mainan politik pembangkang yang setiap minggu bercakap mengenai pertukaran Perdana Menteri tanpa bukti kukuh.
“Sehingga hari ini, sokongan “strong, formidable and convincing” dari ahli Parlimen masih cakap-cakap kosong,” ujar beliau.
Menurut Shahir lagi, tiada siapa yang mahu PKP dilaksanakan untuk berbulan-bulan kerana ianya bakal meranapkan ekonomi negara.
Pada masa yang sama kata beliau, PKP yang dilaksanakan sekarang perlu diperketatkan agar penurunan kes hasil daripada pelaksanaan PKP itu lebih efektif. – MalaysiaGazette