PUTRAJAYA – Sebanyak 1,300 buah keluarga yang juga mangsa banjir di Jerantut, Pahang menerima sumbangan makanan hari ini.
Sumbangan berjumlah hampir RM100,000 itu adalah hasil kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bersama GOGOPASAR, yang juga merupakan sebahagian daripada Program Inspirasi Qaseh Kami-Misi Bantuan Program Musaadah 2021 ke negeri berkenaan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkilfli Mohamad Al-Bakri ketika hadir di pekarangan Kompleks Islam hari ini untuk melepaskan misi bantuan itu berharap agar lebih banyak pihak bekerjasama untuk menghulurkan bantuan menerusi program ini.
“Apa yang dilakukan YaPEIM dan rakan strategik lain bagi saya inilah jawapannya di mana kita boleh menghantar bantuan berbentuk ayam dan daging yang amat diperlukan oleh penduduk. Dapatlah sesekali mereka mengecap makanan-makanan ini. Insyallah perkara ini akan kita teruskan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Turut hadir pada majlis pelepasan itu, Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan dan Ketua Pegawai Eksekutif GOGOPASAR, Lynn Alias.
Pada 21 Januari lalu menerusi Program Inspirasi Qaseh Kami – Misi Bantuan Program Musaadah 2021 ke Negeri Pahang pihak YaPEIM telah menyumbang 500 gulung tilam kepada 250 keluarga yang terjejas akibat banjir di Raub, Pahang.
Pada 27 Januari di lokasi yang sama Zulkifli turut menyempurnakan pelepasan barangan bantuan makanan asas kepada 1,000 keluarga yang terjejas akibat banjir di Kuala Krau, Temerloh. – MalaysiaGazette