
KUALA LUMPUR – Polis telah menahan lima daripada 23 suspek yang sangat dikehendaki dalam siasatan kes pergaduhan dua kumpulan Geng 08 dan Geng 36 di Taman Juara Jaya Batu 9, Kajang baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, pihaknya masih menjejaki seramai 18 lagi suspek bagi membantu siasatan.
“Dari semua 23 gambar suspek dikehendaki yang disiarkan, lima telah ditahan berjaya ditahan polis manakala 18 masih dikesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengenai perkembangan terbaharu insiden pergaduhan dua geng yang merebut kawasan penjualan dadah di Kajang pada Ahad lalu.
Dalam 23 wajah individu yang dikeluarkan polis, salah seorangnya yang diburu adalah Ketua Geng 36 Bukit Belimbing di Kajang iaitu lelaki kacukan India dan Cina bernama Tan atau nama sebenarnya Tan Eng Sun.
Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 20 hingga 43 tahun beralamat di kawasan perumahan sekitar Cheras, Seri Kembangan, Serdang, Balakong, Klang, Rawang, Kuala Lumpur dan Benut, Johor.
Fadzil bagaimanapun tidak memperincikan mengenai status lokasi dan masa penahanan kelima-lima suspek dikehendaki itu serta tempoh reman ke atas mereka.
Foto wajah suspek-suspek itu telah dikeluarkan polis kepada media untuk hebahan umum pada Isnin lalu.
ARTIKEL BERKAITAN:
Rebut kawasan jual dadah punca pergaduhan 2 kumpulan di Cheras – KJSJ Selangor